
ASEAN NCAP TARIK BALIK PENARAFAN 5 BINTANG PROTON X90. MODEL BARU 2026 DITURUNKAN KEPADA 1 BINTANG
KAJANG, MALAYSIA, 15 Mac 2026 – Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) secara rasmi telah menarik balik penarafan keselamatan 5-bintang bagi Proton X90 susulan pelancaran model facelift 2026.
Disebabkan penyingkiran sistem Bantuan Pemandu Proaktif (ADAS) yang penting pada model dikemas kini tersebut, penarafan kenderaan itu telah diturunkan kepada 1-Bintang. Pada tahun 2023, Proton X90 asalnya memperoleh penarafan 5-Bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021–2025 dengan skor keseluruhan 83.79 mata.
Ini merangkumi prestasi cemerlang dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75 mata), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (17.79 mata), Bantuan Keselamatan (15.71 mata), dan Keselamatan Penunggang
Motosikal (12.50 mata).
Pengurangan Spesifikasi Ciri Keselamatan
Setelah menyemak spesifikasi rasmi bagi Proton X90 2026 yang baharu dilancarkan, ASEAN NCAP mendapati sebahagian besar teknologi ADAS yang ada semasa penilaian tahun 2023 telah dikeluarkan. Ini termasuklah :
▪ Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
▪ Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
▪ Amaran Keluar Lorong (LDW)
▪ Bantuan Kekal Lorong (LKA)
▪ Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA)
▪ Teknologi Titik Buta (BST) – Sebelum ini merupakan ciri standard, kini dibuang sepenuhnya.
Kesan Terhadap Penarafan
Di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021–2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana-mana kategori tunggal, bagi memastikan “perlindungan menyeluruh” diberikan.
Penyingkiran teknologi-teknologi ini telah menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-Bintang, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS)yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta telah merosot mendadak ke penarafan 1-Bintang.
Kesannya ialah penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan pada tahap 1-Bintang sahaja. Walau bagaimanapun, ASEAN NCAP mengesahkan bahawa penarafan keselamatan 5-Bintang hanya terpakai untuk varian X90 yang dikilangkan antara tahun 2023 hingga 2025.
Model-model khusus ini telah disahkan dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol
penilaian 2021–2025 kami. MIROS dan ASEAN NCAP menggesa para pengguna untuk lebih teliti dan menyemak spesifikasi keselamatan varian pilihan mereka bagi memastikan ia memenuhi piawaian 5-Bintang tersebut.
Kenyataan Rasmi
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak, Ketua Pengarah MIROS:
“Kami amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini. Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-Bintang tahun 2023 tersebut.
Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit.”
Ts. Yahaya Ahmad, Ketua Teknikal ASEAN NCAP:
“Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal kami. Penyingkirannya, bersama bantuan canggih yang lain, telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi. Keselamatan mestilah menjadi keutamaan yang boleh diakses oleh semua, bukannya satu kemewahan.
ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai; kami tidak akan teragak agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengkompromi keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat.”

