
PEDAL MINYAK KERETA AUTO LAGI RENDAH DARI PEDAL BREK?
Jika anda perhatikan dengan teliti kebanyakan kereta automatik, ada satu perkara kecil tetapi konsisten pada hampir semua reka bentuk pedal iaitu pedal minyak biasanya berada lebih rendah sekitar 4 ke 5cm berbanding pedal brek.
Ia mungkin kelihatan seperti perkara remeh, namun sebenarnya perbezaan ketinggian ini adalah hasil keputusan kejuruteraan yang teliti yang melibatkan aspek keselamatan, ergonomik dan kawalan pemanduan.
Ramai pemandu mungkin tidak pernah mempersoalkan perkara ini kerana ia terasa normal. Tetapi jika kedua-dua pedal diletakkan pada paras yang sama, ia sebenarnya boleh menjadi lebih berisikoterutama pada pemandu yang baru
Direka Untuk Mengelakkan Tersalah Tekan Pedal
Sebab paling utama pedal brek diletakkan lebih tinggi adalah bagi mengurangkan risiko pemandu tersalah tekan pedal, terutamanya dalam situasi kecemasan. Apabila pedal minyak berada lebih rendah, kaki kanan pemandu secara semula jadi akan “berehat” di atas pedal tersebut semasa memandu. Apabila perlu membrek, kaki perlu diangkat sedikit sebelum bergerak ke kiri dan menekan pedal brek.
Pergerakan kecil ini sebenarnya sangat penting yang memberikan satu “isyarat fizikal” kepada otak bahawa pemandu sedang beralih daripada mempercepatkan kenderaan kepada memperlahankannya. Secara tidak langsung ia melatih “muscle memory” kaki yang proses brek sedang dilakukan
Jika kedua-dua pedal berada pada paras yang sama, terdapat kemungkinan kaki boleh tersasar dari pedal minyak terus ke pedal brek dengan sudut yang kurang tepat atau lebih buruk, tersentuh kedua-dua pedal serentak atau terus menekan pedal minyak
Situasi seperti ini boleh menyebabkan kereta terus memecut walaupun pemandu menyangka mereka sedang menekan brek, sesuatu yang pernah menjadi punca beberapa kemalangan terkenal di seluruh dunia.
Faktor Ergonomik Kaki Manusia
Jurutera automotif juga mengambil kira cara kaki manusia bergerak secara semula jadi.
Ketika memandu pergelangan kaki biasanya berada pada sudut santai ketika menekan pedal minyak
dan tekanan pada pedal minyak juga lebih ringan dan berterusan
Manakala pedal brek pula memerlukan tekanan yang lebih kuat dan lebih tepat, terutamanya ketika membrek kecemasan. Dengan meletakkan pedal brek lebih tinggi dan sedikit lebih tegak, pemandu boleh menggunakan kekuatan kaki dengan lebih efektif untuk menghasilkan tekanan brek yang kuat tanpa perlu mengubah posisi badan secara drastik.
Perbezaan kedudukan pedal ini juga berkait rapat dengan reka bentuk mekanikal sistem brek.
Pedal brek disambungkan kepada komponen seperti master cylinder dan brake booster (servo brek). Komponen ini memerlukan pergerakan pedal tertentu untuk menghasilkan tekanan hidraulik yang mencukupi kepada sistem brek.
Dengan kedudukan pedal yang lebih tinggi, pemandu mempunyai kelebihan yang lebih baik untuk menekan pedal dengan kuat apabila diperlukan.
Satu lagi sebab penting ialah untuk mengelakkan pemandu menekan pedal minyak dan brek pada masa yang sama. Jika pedal minyak terlalu tinggi atau terlalu dekat dengan pedal brek, kaki boleh secara tidak sengaja menekan kedua-duanya serentak.
Walaupun sistem elektronik moden mampu mengatasi keadaan ini, ia tetap sesuatu yang cuba dielakkan melalui reka bentuk fizikal pedal. Dengan pedal minyak yang lebih rendah dan biasanya lebih sempit, kaki pemandu cenderung hanya berada pada satu pedal pada satu masa.
Menariknya, dalam kereta prestasi atau kereta lumba yang menggunakan transmisi manual, kedudukan pedal kadangkala dibuat lebih hampir searas. Ini bagi memudahkan teknik pemanduan yang dikenali sebagai Heel-and-toe, di mana pemandu menekan pedal brek dan pedal minyak secara serentak ketika menurunkan gear untuk memastikan enjin kekal pada kelajuan putaran yang sesuai.
Namun teknik ini biasanya digunakan oleh pemandu berpengalaman dan tidak diperlukan dalam pemanduan harian, terutamanya bagi kereta automatik moden.

