
BORONG 196 PARKIR KERETA, SEORANG WANITA CHINA KINI KAUT UNTUNG BERGANDA
Seorang wanita di China mencetuskan perdebatan hangat selepas tindakannya membeli 196 petak parkir dalam sebuah kompleks pangsapuri sebelum menyewakan dan menjual semula petak berkenaan pada harga jauh lebih tinggi, sehingga membawa kepada tindakan undang-undang oleh penduduk setempat.
Menurut laporan media tempatan, kes itu berlaku di Changsha, wilayah Hunan. Ketika projek pangsapuri tersebut siap dibina pada tahun 2018, kawasan sekitarnya masih kurang membangun dan tidak mempunyai banyak kemudahan seperti sekolah, kedai serta rangkaian pengangkutan awam yang mencukupi.
Keadaan itu menyebabkan permintaan terhadap unit kediaman dan petak parkir berada pada tahap rendah.
Namun, seorang wanita dikenali sebagai Wu melihat potensi yang berbeza. Berdasarkan pelan pembangunan kawasan yang ditelitinya, Wu menjangkakan nilai hartanah di lokasi itu akan meningkat seiring pembangunan infrastruktur pada masa hadapan.
Pada masa sama, pemaju projek berdepan masalah kewangan dan menawarkan petak parkir untuk dijual. Wu mengambil peluang tersebut dengan membeli 196 petak parkir dalam satu transaksi bernilai kira-kira 14 juta yuan ((kira-kira RM8.54 juta), mewakili hampir 40 peratus daripada keseluruhan ruang parkir di kompleks berkenaan.
Ketika tawaran itu dibuat, penduduk juga diberi peluang untuk membeli petak parkir masing-masing. Bagaimanapun, sambutan yang diterima amat rendah kerana ramai beranggapan pelaburan tersebut tidak berbaloi memandangkan permintaan ketika itu masih terhad.
Beberapa tahun kemudian, ramalan Wu terbukti tepat. Pembangunan pesat di kawasan sekitar menyebabkan semakin ramai penduduk berpindah masuk dan permintaan terhadap parkir meningkat dengan mendadak. Petak parkir yang sebelum ini berlebihan bertukar menjadi aset bernilai tinggi.
Susulan itu, Wu memasang kunci parkir bagi mengelakkan ruang miliknya digunakan tanpa kebenaran.
Sebahagian petak berkenaan disewakan pada kadar sekitar 500 yuan (RM305) sebulan, iaitu hampir dua kali ganda berbanding kadar asal yang ditawarkan pemaju ketika projek itu dilancarkan.
Penduduk kemudian meminta kadar sewaan diturunkan kepada 300 yuan (RM183) sebulan, namun permintaan tersebut ditolak.
Wu turut menawarkan petak parkir miliknya untuk dijual pada harga sekitar 100,000 yuan (RM61,000) setiap satu, dengan sebahagiannya dilaporkan meningkat sehingga 80 peratus berbanding harga belian asal.
Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang berpendapat kemudahan parkir sepatutnya tidak dijadikan instrumen pelaburan sehingga menyukarkan kehidupan harian penghuni.
Sekumpulan penduduk akhirnya memfailkan saman berkumpulan bagi membatalkan urus niaga pembelian petak parkir antara Wu dan pemaju.
Mereka berhujah bahawa ruang parkir merupakan kemudahan penting yang sepatutnya mengutamakan keperluan penghuni dan bukannya dimonopoli oleh seorang individu.
Bagaimanapun, mahkamah di Changsha memutuskan bahawa pembelian tersebut adalah sah di sisi undang-undang.
Dalam keputusan yang dibuat pada Februari 2024, mahkamah menegaskan bahawa penduduk telah diberikan peluang yang sama untuk membeli petak parkir ketika ia mula ditawarkan, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Mahkamah turut mengambil kira risiko pelaburan yang ditanggung Wu ketika permintaan masih tidak menentu.
Oleh kerana tiada peraturan yang mengehadkan jumlah petak parkir boleh dimiliki seseorang individu, transaksi berkenaan tidak dianggap melanggar undang-undang.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan di media sosial China. Ada yang berpendapat Wu hanya memanfaatkan peluang pelaburan yang diabaikan orang lain, manakala pihak yang menentang berasakan kemudahan asas seperti parkir seharusnya lebih mengutamakan kebajikan dan keselesaan penduduk berbanding keuntungan pelaburan.








