
MINI COUNTRYMAN UNTAMED EDITION TAWAR GAYA OFF-ROAD, TERIMA NAIKTARAF SUSPENSI
MINI memperluaskan rangkaian Countryman menerusi pengenalan varian baharu Untamed Edition yang menampilkan imej lebih lasak dan berorientasikan aktiviti luar.
Model edisi khas ini menerima beberapa penambahbaikan kosmetik serta peningkatan keupayaan pemanduan di laluan mencabar.
Dari segi luaran, Countryman Untamed Edition tampil dengan gril hadapan unik yang dihiasi kemasan Dark Steel dan elemen menegak. Badannya turut dipadankan dengan filem pelindung bertekstur hitam matte, logo Untamed pada tiang-C, skirt sisi yang direka semula serta diffuser belakang baharu.

MINI turut menawarkan beberapa pilihan warna eksklusif termasuk Hideaway Grey, Nomad Blue dan Frozen Nomad Blue.
Selain itu, pelanggan masih boleh memilih warna Midnight Black atau Nanuq White.
Bagi meningkatkan keupayaan merentas permukaan tidak berturap, beberapa varian Untamed Edition menerima suspensi yang ditinggikan. Pasaran Amerika Syarikat dan Kanada menerima peningkatan ini pada semua model, manakala di Eropah ia ditawarkan untuk versi elektrik. Gabungan suspensi baharu dan tayar khas memberikan tambahan kelegaan tanah sebanyak 19mm.

Model ini dipadankan dengan rim aloi 19-inci bersama tayar Pirelli Scorpion All-Terrain Plus yang direka untuk permukaan lebih mencabar.
MINI turut melengkapkannya dengan pelindung bawah badan berwarna Dark Steel bagi memberikan perlindungan tambahan ketika melalui laluan kasar.
Di bahagian kabin, Untamed Edition menerima tempat duduk sport eksklusif berwarna Nightshade Blue dengan kemasan Vescin berlubang dan fabrik rajutan pada bahagian atas. Logo Untamed turut disulam pada tempat duduk bagi menonjolkan identiti model ini.

Sentuhan khas lain termasuk jahitan kontras Cornflower Blue, kemasan dalaman Dark Steel, tikar lantai eksklusif serta ruang simpanan konsol tengah yang diinspirasikan daripada beg galas aktiviti luar.
Bagi melengkapkan konsep pengembaraan, MINI bekerjasama dengan Autohome untuk menawarkan khemah jenis A-frame yang boleh dipasang dengan mudah. Selain itu, kerusi lipat dan meja perkhemahan keluaran Helinox turut disediakan sebagai aksesori rasmi yang direka khusus mengikut tema Untamed Edition.
Pengeluaran MINI Countryman Untamed Edition dijadualkan bermula pada November ini sebelum penghantaran kepada pelanggan dimulakan pada awal tahun hadapan.
Bergantung kepada pasaran, model ini akan ditawarkan berasaskan varian Countryman C, D, E, S ALL4 dan SE ALL4.
Di Amerika Syarikat, Untamed Edition akan ditawarkan berasaskan Countryman S ALL4 dan Countryman SE ALL4 dengan harga bermula daripada AS$43,900 (sekitar RM179,423), tidak termasuk kos penghantaran.


