Buletin

PROTON X50 SPORT EDITION (SE) BAHARU KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

PROTON membuka tempahan untuk PROTON X50 Sport Edition (SE) baharu yang diperkenalkan sempena ulang tahun keenam model SUV kompak tersebut di pasaran Malaysia.

Dibangunkan berasaskan varian Flagship, edisi khas ini tampil dengan pelbagai sentuhan eksklusif yang memberi imej lebih agresif dan sporty pada bahagian luaran serta dalaman.

Sejak dilancarkan pada Oktober 2020, PROTON X50 telah merekodkan jualan terkumpul melebihi 177,000 unit di pasaran tempatan dan eksport.

Pencapaian itu menjadikannya antara model paling berjaya dalam sejarah PROTON selain terus menguasai segmen SUV-B di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Bagi versi Sport Edition, PROTON memperkenalkan 15 elemen eksklusif yang membezakan model ini daripada varian standard.

Bahagian luaran menampilkan gabungan kemasan hitam bersama aksen merah yang menyerlahkan karakter lebih dinamik. Ia turut dipadankan dengan kit badan khas serta rim aloi hitam untuk penampilan yang lebih garang.

Di ruang kabin, tema sporty diteruskan menerusi penggunaan kemasan hitam dan jahitan merah pada stereng serta tempat duduk.

Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman khas Sport Edition, manakala lantai dilengkapi kemasan serta tikar TPE yang direka untuk ketahanan lebih baik dalam keadaan cuaca tropika.

Menurut PROTON, semua komponen khas bagi edisi ini telah menjalani proses ujian dan pengesahan yang ketat, termasuk ujian ketahanan, kakisan dan pendedahan sinaran UV bagi memastikan kesesuaiannya dengan penggunaan harian di Malaysia.

Secara keseluruhan, model ini telah melalui lebih 13,700 jam ujian pembangunan.

Dari sudut prestasi, X50 Sport Edition mengekalkan rangkaian kuasa sama seperti varian Flagship. Ia masih menawarkan prestasi responsif bersama tahap kecekapan bahan api yang kompetitif untuk kegunaan harian.

Spesifikasi Utama PROTON X50 Sport Edition

  • Enjin i-GT 1.5 liter turbo empat silinder
  • Transmisi DCT 7-kelajuan
  • Kuasa maksimum: 181PS
  • Tork maksimum: 290Nm
  • Pecutan 0-100km/j: 7.6 saat
  • Penggunaan bahan api: 6.1 liter/100km
  • Skrin infotainmen 14.6-inci
  • Apple CarPlay tanpa wayar
  • Android Auto tanpa wayar
  • Sistem PROTON Link 2.0
  • Arahan suara “Hi PROTON” dalam Bahasa Melayu dan Inggeris
  • 15 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS)
  • Auto Park Assist (APA)
  • Kamera HD 360° dengan paparan telus 180°
  • Rim aloi hitam 18-inci
  • Kit badan khas Sport Edition
  • Lencana eksklusif Sport Edition
  • Jahitan merah pada stereng dan tempat duduk
  • Tikar lantai TPE khas

PROTON X50 Sport Edition kini boleh ditempah di semua pusat jualan PROTON yang sah di seluruh negara.

GALERI:

Google ads
Back to top button