
LEAPMOTOR B03X 2026 KINI DI AUSTRALIA – DUA VARIAN, HARGA MULA RM85K
Leapmotor terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran global apabila SUV elektrik kompak terbaharunya, Leapmotor B03X, kini dibuka untuk tempahan di Australia.
Model yang dibangunkan oleh pengeluar China dengan sokongan Stellantis itu ditawarkan pada harga bermula AUD29,990 (kira-kira RM85,161), sekali gus menjadikannya SUV elektrik paling mampu milik yang dijual di negara tersebut.
Model berkenaan mula diperkenalkan di China pada Mac 2026 menggunakan nama Leapmotor A10 dengan harga antara 65,800 hingga 86,800 yuan.
Sejak dilancarkan, ia mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan dengan lebih 122,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sehingga Ogos tahun ini.

Di Australia, B03X ditawarkan dalam dua varian iaitu Style dan Design Long Range. Kedua-duanya hadir dengan reka bentuk crossover kompak sepanjang 4.27 meter serta jarak roda 2,605mm. Antara elemen luaran paling menonjol ialah lampu belakang berinspirasikan bentuk senyuman yang menjadi identiti model ini.
Bahagian kabin direka untuk lima penumpang dan menawarkan ruang penyimpanan tambahan di bawah tempat duduk belakang.
Ruang kargo pula mencecah 602 liter, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Spesifikasi utama Leapmotor B03X:
Varian Style
- Motor elektrik: 130kW (174hp)
- Bateri LFP: 39.8kWh
- Jarak pemanduan WLTP: 292km
- Pecutan 0-100 km/j: 8.6 saat
- Skrin infotainmen: 14.6-inci
- Paparan meter digital: 8.8-inci
- Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
- Sistem audio 6 pembesar suara

Varian Design Long Range
- Motor elektrik: 145kW (194hp)
- Bateri LFP: 53kWh
- Jarak pemanduan WLTP: 382km
- Pecutan 0-100 km/j: 8.6 saat
- Rim aloi 18-inci
- Kamera pandangan sekeliling (360 darjah)
- Sistem audio 12 pembesar suara
Sebagai nilai tambah, Leapmotor menawarkan jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, manakala pek bateri dilindungi oleh jaminan lapan tahun atau 160,000km.
Dengan kombinasi harga kompetitif, ruang kabin praktikal dan jarak pemanduan yang munasabah, B03X dijangka menjadi antara pilihan utama dalam segmen SUV elektrik mampu milik di Australia.



