
LI AUTO SAH MASUK THAILAND MENJELANG AKHIR 2026
Pengeluar kenderaan elektrik premium dari China, Li Auto, mengesahkan perancangannya untuk memasuki pasaran Thailand menjelang penghujung 2026, sekali gus menjadikan negara itu antara pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) terawal bagi jenama berkenaan selepas Macau dan Singapura.
Perkara itu dimaklumkan oleh pasukan perhubungan awam global Li Auto kepada media antarabangsa baru-baru ini.
Walaupun senarai model yang bakal ditawarkan di Thailand masih belum diumumkan secara rasmi, syarikat itu sebelum ini mengesahkan dua model RHD sedang dibangunkan untuk pasaran luar negara iaitu MPV elektrik Mega dan SUV elektrik i6.
Li Auto Mega merupakan MPV bersaiz besar dengan dimensi 5,350mm panjang, 1,965mm lebar dan 1,850mm tinggi serta jarak roda 3,300mm. Saiznya hanya kira-kira 20mm lebih pendek berbanding Mercedes-Benz V-Class.

Model tujuh tempat duduk ini menggunakan konfigurasi tempat duduk 2+2+3 dan menawarkan ciri keselesaan premium termasuk fungsi urutan 16 titik pada tempat duduk barisan pertama dan kedua. Ruang kabin turut dilengkapi dua skrin bersaiz 15.7-inci pada papan pemuka tengah.
Dari segi prestasi, Mega dipacu dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 400kW (536hp). Ia menggunakan bateri NMC berkapasiti 102.7kWh yang membolehkannya mencapai jarak perjalanan sehingga 710km mengikut kitaran CLTC, bersamaan sekitar 582km berdasarkan piawaian WLTP.
Sistem pengecasan pantasnya juga antara yang terpantas dalam segmennya dengan kuasa pengecasan sehingga 400kW dan puncak melebihi 520kW, membolehkan tahap bateri meningkat daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 10 minit.
Sementara itu, Li Auto i6 hadir sebagai SUV elektrik lima tempat duduk dengan ukuran 4,950mm panjang, 1,935mm lebar dan 1,655mm tinggi serta jarak roda 3,000mm.

Kabinnya menampilkan dua skrin 15.7-inci yang digabungkan pada papan pemuka, paparan sentuh kecil pada stereng serta paparan head-up bersaiz 16.8-inci yang menggantikan panel instrumen konvensional.
Varian pacuan roda belakang (RWD) dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 250kW (325hp), manakala versi pacuan semua roda (AWD) menerima tambahan motor hadapan 150kW (201hp), menghasilkan kuasa keseluruhan 400kW (536hp).
Varian AWD mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.5 saat. Ia menggunakan bateri LFP berkapasiti 87.3kWh yang menawarkan jarak pemanduan antara 660 hingga 720km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 541 hingga 590km berdasarkan standard WLTP.
Kemasukan Li Auto ke Thailand dilihat sebagai langkah penting dalam strategi pengembangan global syarikat itu, khususnya di rantau Asia Tenggara yang semakin menerima kehadiran kenderaan elektrik premium dari China.





