Buletin

AUTO BAVARIA TERUS UNGGUL DALAM ANUGERAH KELAB KECEMERLANGAN BMW

Auto Bavaria terus mengukir nama sebagai pengedar unggul BMW di Malaysia apabila sekali lagi merangkul gelaran Juara Anugerah Kelab Kecemerlangan BMW bagi tahun ke-14 berturut-turut.

Anugerah ini merupakan penghormatan tertinggi daripada BMW Malaysia, yang mengiktiraf kecemerlangan berterusan dalam setiap aspek operasi pengedar.

Kemenangan bergaya di Malam Anugerah Pengedar BMW 2025 menandakan satu lagi pencapaian membanggakan buat Auto Bavaria, sekaligus mengekalkan rekod sebagai satu-satunya pengedar yang tidak pernah terlepas anugerah utama ini sejak ia diperkenalkan.

Malam berprestij itu turut menyaksikan Auto Bavaria muncul sebagai penerima anugerah terbanyak dalam kalangan semua pengedar, dengan kejayaan meraih 48 anugerah merentas 12 kategori utama melibatkan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Pengiktirafan ini meliputi pencapaian dalam jualan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman pelanggan, penguasaan produk serta kepimpinan dalam Perkhidmatan Kewangan BMW Group.

Prestasi cemerlang ini jelas mencerminkan komitmen Auto Bavaria untuk menetapkan penanda aras tertinggi dalam setiap interaksi bersama pelanggan.

“Kami amat bersyukur dan berbangga menerima pengiktirafan tertinggi ini buat tahun ke-14 berturut-turut,” ujar Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan dedikasi seluruh warga kerja kami. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan setia kami atas sokongan yang tidak putus-putus.”

Beliau turut menegaskan komitmen Auto Bavaria dalam memperkasa strategi pertumbuhan yang menyeluruh. “Kami kini giat mengembangkan rangkaian bilik pameran berkonsepkan Retail.NEXT yang menampilkan rekaan moden serta pengalaman digital lebih peribadi.”

“Selain itu, transformasi digital turut dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan, di samping pelbagai acara eksklusif seperti pratonton model baharu dan program pemanduan berinspirasikan sukan permotoran.”

Google ads
Back to top button