
GR YARIS 2025 AT KINI DI MALAYSIA – 300PS, 400Nm, HARGA BERMULA RM325K
Selepas memperkenalkan model GR Yaris 2025 pada Januari lalu, UMW Toyota Motor kini menambah satu lagi varian menarik, iaitu kali ini dilengkapi transmisi automatik 8-kelajuan GAZOO Racing Direct (DAT).
Ia hadir sebagai pelengkap kepada pilihan manual 6-kelajuan Intelligent Manual Transmission (iMT) yang sedia ada

Toyota mengambil pendekatan “kaizen”, falsafah penambahbaikan berterusan dalam membangunkan GR Yaris 2025. Antara peningkatan terbesar termasuk:
- Pilihan transmisi automatik 8-kelajuan GAZOO Racing Direct (DAT) selain 6-kelajuan manual iMT
- Enjin 1.6L turbo dipertingkat kepada 300PS dan 400Nm
- Sistem pacuan semua roda GR-Four dikemas kini dengan mod Gravel baharu
- Drive Mode Select diperkenalkan: Eco, Normal, Sport, dan Custom
- Sistem penyejukan lebih mantap dengan intercooler spray dan radiator tambahan
- Kokpit diubah untuk memberi fokus penuh kepada pemandu
- Rekaan luaran serba baharu dengan aerodinamik lebih efisien
- Ketegaran casis ditingkatkan melalui spot weld tambahan dan penggunaan gam struktur
Toyota bukan sahaja menyuntik lebih kuasa, malah mengasah keseluruhan aspek GR Yaris untuk menjadi sebuah jentera yang benar-benar bersedia untuk jalan raya dan litar.
Menggunakan asas Toyota New Global Architecture (TNGA) khusus, struktur GR Yaris dibina untuk ketegaran tinggi.
Bumbung karbon forged, bonet, pintu aluminium serta penggunaan keluli ultra-tahan di kawasan kritikal membolehkan pengendalian lebih tajam dan kestabilan dipertingkatkan.

Toyota juga menambah bilangan spot weld sebanyak 13% dan memperluaskan penggunaan gam struktur sebanyak 24%, menghasilkan kerangka badan yang lebih kuat dan selesa.
Bahagian hadapan kini menggunakan konsep “Functional MATRIX Ver.2” dengan rekaan gril dan saluran udara brek serba baharu.
Ini meningkatkan penyejukan sistem brek dan mengurangkan rintangan angin. Bampar pula direka dengan struktur split construction, memudahkan pembaikan selepas digunakan di litar.
Di belakang, spoiler baharu lebih tinggi dan lebar, dipadankan dengan lampu belakang bersambung yang memberikan rupa lebih stabil serta agresif. Lampu kabus serta lampu undur kini diletakkan di bawah bampar, menurunkan pusat graviti visual kenderaan.

Model ini juga memperkenalkan warna baharu, Precious Metal, menambah satu lagi pilihan eksklusif untuk peminat GR Yaris.
Dari segi aerodinamik, GR Yaris 2025 mencatatkan penambahbaikan ketara, bukan hanya dari bentuk, malah dari segi kecekapan pengurusan aliran udara dan penyejukan dalaman.
Masuk ke dalam kabin, GR Yaris 2025 menampilkan kokpit yang dirombak sepenuhnya berorientasikan pemandu.
Posisi tempat duduk kini direndahkan sebanyak 25mm untuk memberikan postur pemanduan lebih sporty. Kedudukan tombol gear, brek tangan, dan suis kawalan utama telah disusun semula supaya mudah dicapai tanpa perlu mengubah posisi badan, terutamanya apabila memakai tali pinggang keselamatan perlumbaan.
Meter kluster digital TFT penuh 12.3-inci menggantikan unit lama, menampilkan grafik berbeza mengikut mod pemanduan dipilih. Paparan maklumat enjin, sistem AWD dan prestasi kini lebih terperinci untuk pemandu fokus sepenuhnya di atas jalan atau di trek.

Suasana kabin pula kekal minimalis dengan sentuhan material berkualiti tinggi — menunjukkan keseimbangan antara keselesaan harian dan keperluan prestasi perlumbaan.
Di bawah bonet, enjin G16E-GTS 1.6 liter 3-silinder turbo tidak lagi sama seperti sebelumnya, di mana kuasa maksimum meningkat kepada 300PS manakala tork melonjak kepada 400Nm.
Ini membolehkan GR Yaris memecut dari 0-100 km/j dalam masa sekitar 5.2 saat, dengan kelajuan maksimum 230 km/j.
Buat pertama kali, GR Yaris kini dilengkapi sistem Drive Mode Select — membolehkan pemandu memilih antara mod Eco, Normal, Sport, atau Custom, mengikut keperluan harian atau prestasi di trek.

Dalam mod SPORT, penukaran gear menjadi lebih agresif, manakala dalam mod Manual (M-range), pemandu boleh mengawal tukaran gear dengan kecekapan maksimum, melengkapkan prestasi puncak enjin dari 4,900 rpm hingga ke redline 7,200 rpm.
Selain itu, sistem pacuan semua roda GR-Four kini menerima kemas kini penting, termasuk mod Gravel baharu untuk permukaan longgar, dan mod Track yang mampu melaras agihan kuasa dari 60:40 hingga 30:70 bergantung kepada keadaan pemanduan.
Sistem ini disokong klac berbilang plat elektronik, sensor kelajuan roda, g-force, suhu klac dan menggunakan Torsen LSD di hadapan dan belakang untuk cengkaman optimum. Pelancaran dari pegun (Launch Control) turut tersedia untuk varian automatik.
Varian ini turut dilengkapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense generasi ketiga (TSS3), meliputi ciri-ciri maju seperti:
- Pre-Collision System (PCS)
- Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA)
- mod EXPERT bagi Vehicle Stability Control (VSC)
Untuk harga, varian automatik GR Yaris boleh dimiliki bermula dari RM325,600 dan kini tersedia di semua pusat jualan GR Garage di seluruh negara.
Setiap pembelian disertakan dengan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, termasuk servis penuh serta akses kepada aksesori rasmi Toyota GAZOO Racing melalui rangkaian sokongan GR Garage.