
AUTO BAVARIA, DC HANDAL JALIN KERJASAMA – SEDIA LEBIH BANYAK PENGECASAN PANTAS EV DI LEMBAH KLANG, PULAU PINANG
Bagi mengukuhkan lagi infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di negara ini, Auto Bavaria, rangkaian pengedar terbesar BMW Group Malaysia, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian pengangkutan lestari, Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal).
Kerjasama terbabit adalah untuk memperluas kemudahan pengecasan pantas di seluruh Lembah Klang dan Pulau Pinang serta menggalakkan penggunaan penyelesaian pengangkutan lestari.
Memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat, ia akan menyediakan kemudahan pengecasan pantas kepada 10 tapak pengecasan di kawasan-kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan rancangan untuk menambah lagi lokasi pada masa depan.
Selain itu, BMW Group Malaysia juga telah menyediakan lebih 1,700 kemudahan pengecasan dalam rangkaiannya setakat ini.

Sebanyak 400 kemudahan disediakan menerusi kerjasama dengan ChargEV dan Yinson Greentech, manakala pakatan dengan JomCharge menyediakan lebih 100 kemudahan pengecasan.
Sementara itu, kerjasama dengan Gentari membekalkan lebih 150 kemudahan manakala sebanyak 160 lagi stesen pengecas disediakan bersama rakan-rakan kerjasama baharu seperti ParkEasy, ChargeN’Go, ChargeSini, Go-To-U, dan FlexiParking.
Malah, lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI juga boleh didapati di kebanyakan pengedar sah, termasuk lokasi rakan kerjasama di seluruh negara.
Dengan kepakaran membangunkan penyelesaian pengecasan pantas, DC Handal kini merupakan peserta penting dalam pembangunan teknologi EVSE yang dilaksanakan untuk memberikan pengalaman menyenangkan kepada pelanggan.
Pemegang saham utamanya, Handal Indah Sdn Bhd, ialah pengendali kemudahan bas pengangkutan awam swasta yang terbesar di Malaysia, membolehkan DC Handal untuk memainkan peranan penting mencetus peralihan kepada bas elektrik dan memenuhi keperluan bagi pengangkutan EV.
Sehubungan itu, pelanggan boleh membayar untuk khidmat pengecasan dengan mudah menggunakan kad kredit atau kad debit serta kemudahan bayaran elektronik di terminal pembayaran OCBC atau menerusi platform aplikasi JomCharge dan ChargEV.









