Artikel Pilihan

BAGAIMANA KAKITANGAN PENERBANGAN DAN JURUTERBANG BEREHAT DALAM PENERBANGAN?

Bagi penerbangan jarak jauh yang memakan masa yang lama, beberapa buah negara telah menetapkan syarat bahawa kakitangan penerbangan perlu mendapatkan rehat yang secukupnya walaupun ketika menaiki pesawat. Sebagai contoh penerbangan terus dari Amerika ke Singapore yang memakan masa 18 jam memerlukan kakitangan bekerja mengikut shift dan berehat secara bergilir-gilir

Ini kerana terdapat tempoh waktu yang maksimum bagi manusia bekerja secara efektif dan sekiranya waktu bekerja tersebut bertambah maka ia akan memberikan tekanan pada kakitangan dan juga keletihan. Apatah lagi dalam industri penerbangan di mana faktor kecuaian manusia wajar diberi perhatian serius.

Tapi kakitangan syarikat penerbangan tidaklah mendapat sebarang layanan ala-ala VIP sebaliknya ia merupakan satu kawasan khas, tersembunyi dari pandangan umum, tidak bertingkap, tiada unit hiburan dan diberikan beberapa ruang privasi khas dan juga tilam untuk mereka berehat dari bekerja

Ruangan ini biasa dinamakan sebagai “Crew Rest Area” biasanya diletakkan di bahagian belakang sekali ruang pesawat dengan pintu masuk ke kawasan ini amat tersembunyi dan hanya boleh dibuka oleh kakitangan syarikat penerbangan sahaja

Sebaik sahaja pintu dibuka, terdapat beberapa anak tangga yang akan menuju terus ke ruang rehat yang disediakan tilam dan juga bantal. Sebagai contoh pesawat Airbus A350-900 XWB menyediakan sehingga 6 tempat rehat untuk kakitangan mereka. Bagi mewujudkan ruang peribadi, terdapat tirai disediakan antara ruang rehat ini

Selain daripada tilam, kawasan ini juga menyediakan bantal, selimut yang diikat dengan tali keledar keselamatan dan juga ruang khas bagi mereka menggantung uniform mereka ketika berehat. Ya walaupun ketika berehat, kakitangan penerbangan wajib menggunakan tali pinggang keledar atas sebab keselamatan kerana turbulens boleh berlaku bila-bila masa

Bagi tujuan komunikasi dengan kakitangan yang bertugas dan juga juruterbang, terdapat unit interkom dipasang di kawasan rehat dengan lampu membaca. Bagi juruterbang, kawasan rehat mereka berada berdekatan dengan kokpit, dengan kelangkapan yang hampir sama dengan kakitangan lain

Cuma kalau dibandingkan dengan kemudahan yang ada pada penumpang kelas perniagaan atau kelas pertama, ia memang kurang selesa, sempit dan anda mungkin akan mengalami masalah terkurung diruang sempit. Cuma kalau dah penat, baring mesti lelap terus.

Sumber gambar dan berita : Business Insider

Google ads
Back to top button