
BENDA DARK FLAG 950 V4 LANCAR DI EICMA – ENJIN V4, 108HP
BENDA antara pengeluar motosikal China yang berjaya mencuri tumpuan pengunjung di EICMA antaranya dengan Benda Dark Flag 950.
Jenama yang terkenal dengan motosikal jenis cruiser itu memperkenalkan model paling berkuasa setakat ini menerusi Dark Flag 950 yang bukan sahaja tampil dengan kapasiti enjin terbesar setakat ini malah turut menggunakan pakai konfigurasi V4.

Ini bukan kali pertama Benda mempamerkan Dark Flag 950 ini kerana telah pun mendedahkan versi prototaip setahun yang lalu.
Menariknya, Dark Flag 950 V4 ini menandkan pencapaian baharu bagi jenama yang baru ditubuhkan sembilan tahun lalu pada 2016.

Menurut BENDA, Dark Flag 950 ini dikuasakan platform V4 948cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 108hp dan 85Nm pada 7,000rpm. Platform yang diberi nama BENDA V4 Litre Power itu hadir dengan ukuran bore dan stroke 67mm x 67.2mm dan nisbah mampatan 12.1:1.
Lebih mengagumkan, ketika jentera berada dalam keadaan idle, dua silinder pada enjin berkenaan akan dinyahaktifkan. Cruiser ini tidak menggunakan rantai sebaliknya tali sawat.
Selain itu, BENDA turut mendakwa Dark Flag 950 ini mampu melakukan 0-100km/j sekitar 3.8 saat dengan top speed sekitar 200km/j. Antara perincian lain ditawarkan termasuk klac slipper, ABS dan traction control.








