
TERKINI: BENDA LFC 700 PRO LANCAR DI MALAYSIA BULAN INI – 77.8HP, 60NM
BENDA akan memperluaskan tawaran motosikal di Malaysia kali ini menerusi LFC 700 Pro.
MForce Bike Holdings telah pun mempamerkan LFC 700 Pro sewaktu majlis buka puasa bulan lalu namun kami diberitahu bahawa model ini akan dilancarkan bulan ini.

Difahamkan, harga LFC 700 Pro akan diumumkan ketika pembukaan rasmi pusat pameran MForce Best Shop di Melaka pada 20 April ini.
LFC 700 Pro merupakan cruiser yang menampilkan reka bentuk moden dan futuristik berbanding model BENDA lain yang ditawarkan di Malaysia ketika ini.

Selain itu, LFC 700 Pro juga merupakan model paling berkuasa dalam portfolio BENDA ekoran dipacu enjin empat silinder 676cc 16-valve DOHC yang berupaya menjana 77.8hp pada 10,500rpm dan 60Nm pada 8,000rpm. Kuasa pula dikawal selia transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan slipper clutch.
BENDA mendakwa LFC 700 Pro ini mampu mencapai top speed lebih 160km/j meskipun seberat 287kg dengan tangki penuh.

Sementara itu, LFC 700 Pro juga hadir dengan kelengkapan premium antaranya fork USD 43mm dari KYB dan penyerap hentak boleh laras di belakang juga dari KYB.
Menariknya, tempat duduk boleh diselaraskan antara 650mm hingga 730mm mengikut kesesuaian penunggang. Selain itu, LFC 700 Pro ini juga hadir dengan light wings yang akan terbuka apabila lampu high beam diaktifkan.

Bahagian brek pula dikendalikan brek Brembo 4-piston depan dengan cakera 320mm dan brek Brembo 2-piston belakang dengan cakera 260mm. ABS juga didatangkan secara standard.
Namun begitu, ciri paling menonjol adalah di bahagian tayar dengan bahagian depan menempatkan tayar 130/70-19 sementara bahagian belakang pula menawarkan ukuran 300/15-18.

Menurut BENDA, motosikal super cruiser ini hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 17L dan mampu menampung berat sehingga 180kg.
GALERI: BENDA LFC 700 PRO






















