
BENDA ROCK 707 DIPERKENAL – DENGAN E-CLUTCH, CRUISE CONTROL
BENDA yang terkenal dalam penghasilan motosikal gaya cruiser yang unik dari China, telah melancarkan model terbaru menerusi Rock 707 baharu.
Menariknya, Rock 707 ini bukan sekadar motosikal baharu namun juga merupakan motosikal pertama dari BENDA yang menampilkan teknologi E-Clutch yang berfungsi seperti sistem sama yang ditawarkan Honda.

Teknologi Honda E-Clutch muncul pertama kalinya pada CB650R dan CBR650R dan turut akan diperkenalkan pada model lain antaranya Rebel 300 dan CL300.
Sistem tersebut membolehkan penunggang mengendalikan motosikal seperti sebuah skuter dengan hanya ‘twist & go’ dan menukar gear menggunakan lever kaki tanpa perlu menarik klac. Namun begitu, klac lever dikekalkan bagi mereka yang gemar dengan cara konvensional tersebut.

Nampak gayanya, Honda bukan lagi satu-satunya pengeluar yang menawarkan sistem tersebut ekoran BENDA turut memperkenalkan teknologi sama pada Graystone 707 yang membuat debut di Beijing Motorcycle Show bulan lalu.
Berdasarkan imej dikongsikan, jelas menampakkan sistem yang mirip E-Clutch yang dipasangkan pada bahagian clutch cover. Juga seperti E-Clutch, kelengkapan seperti lever klac masih dikekalkan bagi yang gemar menukar gear dengan menarik klac.

Selain itu, Rock 707 ini juga merupakan motosikal pertama dari BENDA yang menawarkan fungsi cruise control secara standard. Model baharu ini juga dilengkapi dengan air suspension di bahagian belakang, sistem sama yang ditawarkan pada Darkflag 500 dan LFC 700.
Atas kertas, Rock 707 ini dipacu enjin V-Twin 691.6cc yang berupaya menjana 72hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 6,500rpm. BENDA mendakwa Rock 707 ini mampu mencapai kelajuan lebih 190km/j.

Antara perincian lain dinyatakan termasuk tangki bahan api berkapasiti 16L, ketinggian tempat duduk 705mm dan saiz tayar 150-80/16 depan dan 180-65/16 belakang yang dipadankan bersama ABS secara standard.
GALERI: BENDA ROCK 707








