BERJAYA AUTO ALLIANCE SAH AMBIL ALIH JENAMA PEUGEOT. TIADA LAGI CITROEN DAN DS
Jenama kenderaan Peugeot kini sah akan diambil alih oleh sebuah syarikat baharu dikenali sebagai Berjaya Auto Alliance Sdn. Bhd (BAASB). BAASB dimiliki 51 peratus oleh Berjaya Corp Berhad dan 20 peratus Bermaz Auto Berhad, manakala baki pemegang sahamnya tidak didedahkan.
Berita ini sekali gus mengesahkan khabar angin beberapa bulan lalu bahawa jenama kenderaan Perancis itu akan dikendalikan oleh satu entiti baharu.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Groupe PSA, Berjaya Corporation dan Bermaz Auto, BAASB akan bertindak sebagai pengedar tunggal Peugeot. Selain memiliki hak bagi aspek selepas jualan dan alat ganti kenderaan Peugeot, Citroen dan DS.
Ini juga bermakna Citroen dan DS tidak lagi wujud di Malaysia. Tetapi pemilik kenderaan itu akan menerima sokongan selepas jualan daripada BAASB.
BAASB dilapor bakal melancarkan model pertamanya iaitu Peugeot 2008 yang besar kemungkinan dipasang di kilang Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah. Kilang yang menghasilkan model 3008 dan 5008 serta turut dieksport ke Thailand itu kini dimiliki oleh Groupe PSA.
“Sejak beberapa tahun lalu, barisan produk kami iaitu SUV Peugeot 3008 dan 5008 mendapat sambutan hangat di Malaysia. Jadi, kami akan meneruskan momentum ini dengan menawarkan model-model baharu yang menarik dan inisiatif selepas jualan.
“Kami merancang untuk memperkenalkan Peugeot 200 serba baharu dan mervolusikan kembali pengalaman pelanggan dengan rakan baharu BAASB. Selain membuktikan komitmen kami menerusi khidmat jualan dan selepas jualan yang terbaik kepada pelangggan.
“Groupe PSA juga telah menjadikan Malaysia sebagai hub export di rantau ini,” kata Naib Presiden Kanan Asia Tenggara Groupe PSA, Laurence Noel.
Ketua Pegawai Ekskutif Berjaya Corp, Dato’ Sri Tan Yeong Ching menyatakan pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada kerjasama baharu (menerusi BAASB) dengan Groupe PSA, salah satu pengeluar kenderaan terbesar Eropah.
“Kerjasama baharu ini akan melengkapkan lagi perniagaan automotif kumpulan seperti H.R. Owen Plc dan Berjaya China Motor Sdn. Bhd. Kami percaya kerjasama ini akan memberi sinergi positif kepada semua pihak,” kata Yeong Ching.
Pengerusi Ekskutif Bermaz, Dato’ Sri Ben Yeoh berkata, “Kami berbesar hati kerana Groupe PSA dan Berjaya Corp mengiktiraf keupayaan Bermaz Group serta kepakarannya dalam industri automotif.
“Kami gembira kerana dapat turut serta dalam kolaborasi baharu ini dan bakal pulangan positif kepada pendapatan masa hadapan.”