" "
Buletin

NAZA GROUP AKAN LEPASKAN KIA & PEUGEOT. BERMAZ AUTO AMBIL ALIH?

Naza Group didakwa merancang untuk melepaskan hak pengedaran jenama Kia dan Peugeot berikutan pasaran yang semakin lembab akibat impak penularan  wabak COVID-19.

Memetik laporan New Straits Times, sumber menyatakan bahawa Bermaz Auto Bhd (BAuto) sangat berminat untuk mengambil alih jenama kenderaan dari Korea Selatan dan Perancis itu.

Menurutnya, biarpun perubahan pengedaran memerlukan kelulusan daripada principal jenama, BAuto kini sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih francais Kia

BAuto yang kini mengedar jenama Mazda berdepan saingan daripada beberapa pihak berminat termasuklah Sime Darby Berhad dan Berjaya Group.  

Sebelum ini, Naza Group sudahpun menjual cawangan Kia kepada para pengedarnya. Satu lagi sumber memberitahu seorang bekas eksekutif kanan sebuah dana utama tempatan telah ditugaskan untuk dispose francais Kia.

Sumber turut menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif BAuto, Datuk Francis Lee ada mengumumkan mahu menambah satu francais kenderaan baharu ke dalam portfolionya. Tetapi, beliau tidak menyatakan jenamanya.

“Kia mungkin akan terlebih dahulu menyertai BAuto,” kata sumber itu lagi.

Pada Ogos, sebanyak 52,800 unit kenderaan berjaya dijual, naik tiga peritus berbanding tempoh sama tahun lalu. Namun, angka itu adalah lapan peratus lebih rendah berbanding Julai 2020 yang menyaksikan jualan keseluruhan sebanyak  57,552 unit.

Dari Januari hingga Ogos 2020, sebanyak 285,045 unit kenderaan telah terjual, berbanding 380,552 unit sepanjang tempoh sama tahun 2019.

Pemerhati industri mengakui bukanlah sesuatu yang asing untuk sesebuah syarikat memiliki hak pengedaran lebih daripada satu jenama kenderaan massa. Contoh paling dekat ialah Naza Group sendiri.

Selain Kia Motors Corp, hubungan perniagaannya dengan Group PSA membolehkan Naza Group untuk mengedar kenderaan jenama Peugeot, Citroën dan DS.

Ia kini mengedar kenderaan Peugeot di bawah syarikat Nasim Sdn. Bhd. Manakala jenama Citreon dan DS pula diedar oleh Naza Euro Motors Sdn. Bhd. Kenderaan Kia pula diedar oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd.

Naza Group juga menjadi pengedar untuk jenama Brabus Mercedes-Benz, Maserati, Ferrari dan Ducati di Malaysia. Beberapa bulan lalu, timbul khabar angin Naza Group sedang berunding dengan Suzuki Motor Corp untuk memperkenalkan semula jenama itu di Malaysia. – NST

Google ads
Back to top button