Buletin

iCAUR 03 RWD CKD MULA DIPASANG, HARGA KEKAL RM119,740

iCAUR Malaysia mengumumkan permulaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model iCAUR 03 RWD, sekali gus melengkapkan rangkaian pemasangan tempatan untuk model iCAUR 03 di negara ini.

Langkah terbaharu itu menyusul selepas varian pacuan semua roda (iWD) mula dipasang secara tempatan pada Mei lalu.

Menariknya, walaupun kini dipasang di Malaysia, iCAUR 03 RWD masih ditawarkan pada harga pengenalan yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU), iaitu RM119,740 atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia.

Dari segi trenkuasa, iCAUR 03 RWD menggunakan konfigurasi motor elektrik tunggal di gandar belakang yang menghasilkan kuasa maksimum 135kW atau bersamaan 184PS serta tork puncak 220Nm.

Model ini turut dilengkapi lima mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keadaan jalan dan keperluan pemandu.

Bekalan tenaga pula disimpan dalam pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 65.7kWh yang membolehkan jarak pemanduan sehingga 426 kilometer berdasarkan kitaran ujian NEDC.

Bagi pengecasan, model ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80kW dan pengecasan AC sehingga 6.6kW, menawarkan kemudahan penggunaan harian yang lebih praktikal.

Selain mengekalkan spesifikasi mekanikal yang sama, iCAUR 03 RWD CKD hadir dengan dimensi yang tidak berubah berbanding model CBU.

SUV elektrik ini mempunyai panjang 4,406mm, lebar 1,910mm, tinggi 1,715mm serta jarak roda 2,715mm.

Dari aspek keselesaan dan kemudahan, model ini dilengkapi pelbagai ciri premium termasuk sistem penyaman udara yang boleh dikawal dari jauh, kemasukan tanpa kunci, fungsi Walk-Away Auto Lock serta kad kunci pintar Near Field Communication (NFC). Ia turut menerima empat pemegang pintu elektronik yang memberikan penampilan lebih moden dan futuristik.

Bagi meningkatkan keselesaan penumpang, iCAUR 03 RWD menawarkan tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan, tempat duduk berpengudaraan untuk penumpang hadapan dan belakang serta ventilasi penghawa dingin khas untuk penumpang belakang.

Dari sudut hiburan dan ketersambungan, SUV ini dilengkapi sistem audio INFINITY dengan 12 pembesar suara, pembantu suara pintar untuk penumpang hadapan dan belakang, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Turut disediakan ialah pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W dengan sistem pengudaraan terbina dalam bagi mengelakkan peranti menjadi terlalu panas ketika proses pengecasan.

Kemudahan lain yang melengkapkan pakej iCAUR 03 RWD termasuk fungsi Rest Mode, aplikasi CarLink, port USB Type-A dan Type-C untuk penumpang hadapan dan belakang, pengecas mudah alih tiga pin, kit peralatan asas serta kit pembaikan tayar.

Pengeluaran rasmi iCAUR 03 RWD CKD bermula pada September 2026, manakala penghantaran kumpulan pertama kepada pelanggan dijadualkan bermula Oktober 2026.

Unit pemasangan tempatan itu kini ditawarkan dalam jumlah terhad.

GALERI:

Google ads
Back to top button