Buletin

REKA BENTUK PELIK, BERKUASA 1,111HP! INILAH CEER EXOBOT, EV PERTAMA ARAB SAUDI

Jenama kenderaan elektrik (EV) pertama Arab Saudi, Ceer, akhirnya memperkenalkan model sulungnya yang dikenali sebagai Exobot selepas beberapa tahun menjalani pembangunan dan ujian.

Menariknya, reka bentuk sedan dan SUV baharu itu kelihatan seolah-olah sebuah kereta konsep, namun kedua-duanya disahkan sebagai model pengeluaran yang akan dipasang di kilang khas di King Abdullah Economic City.

Exobot ditawarkan dalam dua pilihan badan iaitu sedan dan SUV, dengan penampilan yang sangat berbeza daripada kebanyakan EV sedia ada di pasaran.

Ciri paling menonjol ialah cermin hadapan yang sangat panjang dan landai sehingga bersambung hampir sempurna dengan bonet hadapan.

Menurut Ceer, Exobot menggunakan cermin hadapan terbesar pernah dipasang pada sebuah kereta produksi dengan ukuran sepanjang 2.4 meter. Kedua-dua model turut dilengkapi lampu hadapan nipis bersama lampu nyalaan siang (DRL), manakala versi SUV menerima rekaan bampar yang lebih lasak.

Dari segi saiz, sedan Exobot mempunyai panjang 5.26 meter, lebar 2.1 meter dan tinggi 1.43 meter. SUV pula sedikit lebih pendek pada 5.02 meter, namun berkongsi lebar yang sama dengan ketinggian 1.69 meter.

Kedua-dua model menggunakan pintu gaya sayap burung yang dinamakan sebagai “Shahin Wing Doors”, diinspirasikan daripada burung helang Shahin yang terkenal di rantau Timur Tengah.

Ceer membangunkan Exobot menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi Taiwan, Foxconn, selain dilaporkan menggunakan sistem pacuan elektrik yang dibekalkan oleh BMW.

Varian paling berkuasa Exobot dilengkapi tiga motor elektrik yang menghasilkan 1,111 kuasa kuda (hp) dan tork sehingga 1,500Nm. Sedan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

SUV pula mencatat masa pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 2.4 saat dengan kelajuan tertinggi 210 km/j.

Bagi peringkat awal, Ceer akan menawarkan versi First Edition yang menghasilkan 850hp dan 1,000Nm tork. Dalam spesifikasi ini, sedan mampu mencapai 100 km/j dalam 2.6 saat manakala SUV mengambil masa 2.9 saat.

Kedua-dua model menggunakan bateri berkapasiti 112kWh. Sedan menawarkan jarak perjalanan sehingga 670 kilometer, manakala SUV mampu bergerak sejauh 560 kilometer bagi sekali cas penuh.

Sistem elektrik 800 volt membolehkan pengecasan pantas dilakukan, dengan tahap bateri meningkat daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 30 minit.

Memandangkan Exobot menggunakan permukaan kaca yang luas dan bakal beroperasi dalam cuaca panas Arab Saudi, Ceer turut membangunkan teknologi khas untuk memastikan keselesaan kabin.

Syarikat itu mendakwa penggunaan kaca bersalut perak tiga lapisan bersama sistem penyejukan berprestasi tinggi mampu menurunkan suhu dalaman daripada 65 darjah Celsius kepada 32 darjah Celsius dalam masa hanya 10 minit.

Ruang kabin pula menampilkan skrin panoramik bersaiz 48-inci yang merentasi papan pemuka, skrin infotainmen tengah 10.4-inci serta paparan 8-inci untuk penumpang belakang.

Turut ditawarkan ialah stereng berbentuk yoke, pembantu suara berasaskan kecerdasan buatan (AI), kemas kini perisian secara over-the-air (OTA) dan sistem pemanduan autonomi bebas tangan dengan navigasi dari titik ke titik.

Setakat ini, Ceer masih belum mengumumkan harga rasmi Exobot. Selain itu, syarikat berkenaan merancang untuk memperkenalkan lima lagi model baharu antara tahun 2028 hingga 2030.

Walaupun pada asalnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada EV, Ceer kini turut merancang untuk menghasilkan model hibrid plug-in (PHEV) serta kenderaan enjin pembakaran dalaman pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button