
PERMINTAAN E-HAILING, P-HAILING DIJANGKA MELONJAK SEHINGGA 300 PERATUS SEMASA F1
Permintaan terhadap perkhidmatan e-hailing dan p-hailing dijangka meningkat antara 200 hingga 300 peratus sempena penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Menurut Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (Lead Malaysia), unjuran itu dibuat berdasarkan corak permintaan yang lazim berlaku ketika acara antarabangsa berskala besar dianjurkan di negara ini.
Peningkatan tempahan dijangka tertumpu di kawasan Sepang, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, sekali gus membuka peluang kepada ribuan pemandu serta penghantar gig untuk menjana pendapatan lebih tinggi sepanjang berlangsungnya perlumbaan tersebut.
Lead Malaysia berkata, kadar tambang dinamik juga dijangka meningkat pada waktu dan lokasi tertentu apabila jumlah permintaan melebihi kapasiti pemandu yang tersedia susulan kehadiran peminat F1 dari pelbagai negara.
Menurut pertubuhan itu, ramai pemandu dari negeri-negeri berhampiran dijangka mengambil peluang untuk beroperasi di Lembah Klang dan Sepang bagi memanfaatkan lonjakan permintaan sepanjang minggu perlumbaan.
Bagi sektor penghantaran pula, kehadiran pelawat dalam jumlah besar dijangka merangsang permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan di kawasan tumpuan.
Dalam masa sama, Lead Malaysia mengingatkan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing supaya terus mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi ketika memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan pelancong asing.
Menurutnya, setiap perjalanan sepanjang minggu perlumbaan bukan sekadar tempahan biasa, malah menjadi peluang untuk mempamerkan imej positif Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
“Kami yakin pemandu dan penghantar tempatan akan terus mengutamakan layanan mesra, sopan dan profesional kepada semua pelanggan,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini menerusi perjanjian yang dimeterai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian tersebut membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal tahun susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat. – New Straits Times

