Buletin

HONDA CITY 2026 RASMI DILANCARKAN – HARGA MULA RM111K

Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Honda City 2026 untuk pasaran tempatan.

Dari segi penampilan, Honda City 2026 tampil dengan identiti baharu yang lebih moden menerusi rekaan lampu hadapan bersepadu bersama jalur lampu penuh (Long Light Bar Headlights) merentasi bahagian hadapan yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian.

Buat pertama kali juga, model City menerima elemen ‘air curtain’ pada bampar hadapan bagi membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Bahagian belakang turut diberikan sentuhan lebih sporty, khususnya pada varian RS yang dilengkapi pakej penggayaan eksklusif serta rim aloi 16-inci baharu dengan kemasan dua tona Berlina Black dan Dark Clear.

Di ruang kabin, Honda memperkenalkan sistem paparan audio bersaiz 10-inci bersama pencahayaan ambien, selain kamera pandangan sekeliling 360 darjah dan sistem Blind Spot Information dengan Cross Traffic Monitoring untuk meningkatkan tahap keselamatan serta kemudahan pemanduan.

Bagi pilihan warna, Honda City baharu ditawarkan empat warna;

  • Platinum White Pearl
  • Meteoroid Gray Metallic
  • Stellar Diamond Pearl, tersedia untuk varian petrol
  • Blazing Red Pearl

Dari segi rangkaian kuasa, pelanggan masih mempunyai pilihan antara enjin petrol konvensional dan sistem hibrid.

Honda City e:HEV menggunakan sistem hibrid 1.5 liter yang dipadankan dengan Electric Continuously Variable Transmission (e-CVT), menghasilkan 109PS dan 253Nm tork daripada motor elektrik.

Sistem e:HEV tersebut turut menggabungkan tiga mod pemanduan, iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive, yang berfungsi secara automatik mengikut keadaan pemanduan.

Bagi pilihan petrol pula, ia dijana oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT), menghasilkan 121PS dan 145Nm.

Honda SENSING pula terus menjadi kelengkapan standard bagi semua varian, menawarkan pelbagai teknologi bantuan pemandu terkini, merangkumi;

  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Auto High Beam (AHB)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low Speed Follow (LSF) – varian e:HEV RS
  • Lead Car Departure Notification (LCDN)

Beralih pada harga pula, Honda City baharu boleh dimiliki pada harga bermula;

  • City 1.5L e:HEV RS: RM 111,900
  • City 1.5L Petrol RS: RM 99,900
  • City 1.5L V: RM 94,900
  • City 1.5L E: RM 89,900

Sempena sambutan 24 tahun model Honda City di Malaysia, Honda Malaysia memperkenalkan Program Ganjaran Khas City bersempena pelancaran Honda City baharu.

Program ini menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada 2,400 pelanggan pertama yang layak, merangkumi pelanggan baharu dan sedia ada Honda, pemilik yang ingin menaik taraf kenderaan serta penjawat awam.

Menerusi inisiatif ini, Honda Malaysia berhasrat untuk menjadikan Honda City baharu lebih mudah dimiliki oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Seiring komitmen Honda Malaysia dalam mempertingkatkan pengalaman pemilikan kenderaan, syarikat itu turut memperkenalkan jaminan lanjutan sehingga lapan tahun tanpa had perbatuan bagi semua model Honda enjin petrol dan hibrid yang dibeli baharu, termasuk Honda City baharu.

Tawaran jaminan lanjutan ini berkuat kuasa mulai 1 September 2026.

GALERI:

Google ads
Back to top button