,
Buletin

BMW M3 EVO II MENCARI PEMILIK BAHARU, HANYA 500 UNIT DI DUNIA!

Memang seronok meneliti kereta unik dan rare di pusat bidaaan United Kingdom. Jika sebelum ini kami bawakan Renault Clio V6, kali ini giliran BMW M3 EVO II 1998 pula.

Untuk makluman hanya 500 unit M3 EVO II dikeluarkan dan unit ini ditawarkan melalui bidaan dalam talian oleh TheMarket.co.uk dari 29 Jun hingga 6 Julai 2020. Bidaan tersebut dibuka tanpa nilai rizab.

Unit yang ditawarkan ini siri 114 daripada 500 dengan pemanduan sebelah kiri.

BMW E30 M3 EVO II adalah edisi terhad kedua model E30 M3 dan satu daripada kereta touring paling berjaya dalam sejarah.

Secara keseluruhannya terdapat hampir 18,000 BMW M3 yang dibina dan hanya 500 unit edisi EVO II dikeluarkan. 

M3 E30 EVO II menggunakan enjin S14 2.3 liter empat silinder berkuasa 220bhp yang dipadan bersama transmisi manual lima kelajuan Getrag. 

Model ini dibangunkan oleh BMW Motorsport Division.

Di antara perubahan yang dibuat ialah sistem pengurusan enjin Bosch, omboh baharu, roda tenaga (flywheel) lebih ringan dan kemasukan udara lebih cekap.

Kotak gear pula dengan nisbah pacuan akhir lebih rendah. Turut berbeza ialah kombinasi roda dan tayar lebih besar iaitu 7.5×16 inci dan 225/45ZR16. 

Berkenaan unit 114 yang dibuka untuk bidaan, ia berada di dalam keadaan sangat baik dan merupakan koleksi simpanan peribadi.  

Sejarahnya bermula di Jerman dan telah dimiliki oleh tiga individu.

Unit 114 kemudian dibawa ke UK pada pertengahan 90an dan pemilik sekarang membelinya 20 tahun lalu. Sehingga kini ia telah dimiliki lima individu.

Enjin kereta ini dibina semula oleh Moseley Motorsport pada 2010 manakala bahagian depan dicat kembali termasuk rim yang diperbaharui.

Unit 114 berwarna Macau Blue dan mempunyai kelengkapan luaran seperti spoiler belakang, roda aloi BBS, lingkungan roda kembang (flared wheel arches), liang udara brek, pemisah (splitter) depan serta logo M3 Motorsport Division.

Bahagian dalam berada dalam keadaan baik dengan kelengkapan asal seperti kerusi separa kulit Buffalo Silver dengan corak berkotak kelabu dengan logo M serta stereng dan tombol gear M.

Turut dilengkapi, bumbung matahari (sunroof) besi jenis gelongsor, bidai cermin belakang, pembesar suara ditingkatkan dan panel kawalan pada bumbung dengan label bahasa Jerman.

Lagi ciri istimewa ialah plak nombor 114 daripada 500 pada bahagian konsol tengah.

Disimpan rapi dalam tempoh lapan tahun kebelakangan, odometer mempamerkan angka 125,620 batu (202,166 km) dan hanya dipandu sejauh 3,000 (4,828km) sejak enjin dibina semula pada 2010.

Satu lagi set kelengkapan istimewa ialah buku panduan pemilik asal dan pek buku, buku dengan sejarah servis bercap (stamped), dua kunci, beberapa sijil MOT tamat tempoh termasuk invois dan bil sebagai pengesahan kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini.

Menarik tak? Legenda memang sentiasa menarik! TheMarket.co.uk menjangkakan nilai BMW M3 EVO II ini di antara £50,000 (RM267,029) hingga £70,000 (RM373,840).

Tags
Google ads
Back to top button