BMW 2 SERIES GRAN COUPÉ, 1.5L 3 SILINDER PUN OKAY!
Persaingan di antara Mercedes-Benz dan BMW sememangnya tidak boleh dipisahkan. Suatu perkara menarik tentang dua jenama Jerman itu ialah persaingan positif yang dibawa di mana kedua-duanya berjaya melonjakkan prestasi masing-masing.
Tanpa salah satu daripadanya, sama ada Mercedes-Benz atau BMW nampak seperti tempang dalam menjalani arus perjalanan industri automotif.
Terbaru BMW memperkenalkan 2 Series Gran Coupé selepas pelancaran perdana di Los Angeles pada November 2019. Model itu menyempurnakan famili 2 Series dan juga rangkaian model empat pintu coupe BMW.
Saingannya? Mercedes-Benz CLA.
Sejarah model BMW empat pintu coupe bermula pada 2012 dengan pelancaran BMW 6 Series Gran Coupé yang kemudian disusuli BMW 4 Series Gran Coupé pada 2014.
Selepas itu BMW 8 Series Gran Coupé diperkenalkan pada 2019 dan kini giliran 2 Series Gran Coupé.
Tidak menggunakan tradisi BMW, 2 Series Gran Coupé dipacu roda depan dan juga semua roda (AWD) seperti yang digunakan pada 1 Series.
BMW menawarkan tiga pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbo tiga silinder untuk varian asas 218i. Enjin itu mempunyai output kuasa 140hp dan tork 220Nm dengan fungsi over-boost yang menjana tambahan sekitar 10Nm pada gear keempat dan ke atas.
Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 216 km/j.
Enjin 2.0 liter turbo pada varian M235i xDrive pula adalah unit empat silinder paling berkuasa yang ada di dalam Kumpulan BMW.
Enjin dengan teknologi BMW TwinPower Turbo itu mempunyai output kuasa 306hp dan tork maksimum 450Nm. Ketangkasan pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 4.9 saat dan kelajuan maksimum ialah 249 km/j.
Enjin ketiga ialah 2.0 liter empat silinder diesel untuk BMW 220d. Enjin itu mempunyai daya kilas 400Nm dan 190hp. Masa yang diambil dari 0 hingga 100 km/j ialah 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 235 km/j.
Untuk transmisi kedua-dua BMW 220d dan BMW M235i xDrive dipadan dengan lapan kelajuan Steptronic. Model 218i pula menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Dari segi saiz, 2 Series Gran Coupé sederhana dengan ukuran panjang 4,526mm, 1,800mm lebar dan tinggi 1,420mm. Bentuk bumbung yang rendah diseimbangkan dengan jarak roda 2,670mm.
Untuk isian barangan di dalam but, ada 430 liter ruang dan boleh dieksploitasi lagi dengan rebahan kerusi 40/20/40.
BMW 2 Series Gran Coupé didatangkan dengan tiga varian pilihan iaitu Sport, M Sport dan M Performance M235i xDrive.
Di United Kingdom, BMW 218i dijual pada GBP25,815 (RM141,404), BMW 220d berharga GBP31,355 (RM171,750) manakala varian premium M235i xDrive pula GBP£37,255 (RM204,068).
Di peringkat ASEAN, BMW 218i dipertontonkan di Singapura pada Januari lalu dan BMW 218i M Sport telah dilancarkan di Thailand pada 28 Februari. Harganya yang ditawarkan ialah 2,369 juta bhat atau bersamaan RM319,202.
- BACA: BMW CONCEPT 4 – KIDNEY GRILL YANG MENARIK PERHATIAN
- BACA: BMW SAH AKAN HASILKAN M3 MANUAL 2020 – SEBAB GEAR MANUAL ADA KAREKTER
- BACA: ACURA TLX, INI LAWANNYA BMW, MERCEDES-BENZ & AUDI!