Buletin

FERRARI ROMA DAH MASUK MALAYSIA. HARGA BERMULA RM968,000.

Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari melancarkan Ferrari Roma ke pasaran Malaysia. Model terbaharu yang menjadi simbol kemewahan itu ditawarkan pada harga asas tidak termasuk cukai dan pilihan ubah suai RM968,000.

Dengan menekankan konsep Nuova Dolce Vita (kehidupan lebih baik) jentera Grand Tourer (GT) itu diinspirasikan daripada rekaan ikonik era tahun 1960-an, 250 GT Berlinetta lusso dan 250 GT 2+2.

Bahagian luaran Ferrari Roma menonjolkan elemen daripada Monza SP dengan jaluran lampu utama Matrix LED dan rekaan gril yang besar. Secara peribadi, pandangan sisi bahagian hadapan jentera ini kelihatan seperti seekor ikan jerung.

Rekaan lampu di bahagian belakang rata digandingkan bersama corong ekzos berkembar menjadikan ia lebih garang dan mantap. Bunyi ekzos jentera ini jangan kata memang padu, boleh kejut orang daripada tidur.

Rekaan aerodinamik di bahagian belakang juga memudahkan ia ‘memotong’ angin terutama ketika memecut.

Ferrari Roma menawarkan konsep dwi kokpit menggabungkan kombinasi elegan dan sporty. Struktur simetri di ruang kabin memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

Penumpang akan merasai pengalaman seperti membantu pemandu mengendalikan jentera terbaharu ini. Kalau rasa hendak penumpang senyap pun boleh, terdapat skrin khusus untuk penumpang melayan hiburan.

Di bahagian kokpit yang menekankan HMI (Human-Machine Interface) untuk memberi keselesaan dan fokus kepada pemandu, terdapat skrin instrumen sebesar 16 inci yang memaparkan segala informasi seperti sistem navigasi. Satu paparan skrin sentuh dengan orientasi menegak bersaiz 8.4 inci pula diletakkan di bahagian tengah.

Roda stereng Ferrari Roma turut menampilkan siri kawalan berbilang sentuhan. Ciri itu membenarkan pemandu mengawal kenderaan tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng. Ia merangkumi manettino 5 posisi, lampu utama, pengelap cermin dan lampu membelok.

Selain itu, kalau diperhatikan Roma hadir dengan butang digital dan kawalan sentuh termasuk ketika hendak menghidupkan enjin serta di roda stereng.

Kemasan dalaman mendapat sentuhan kemewahan merangkumi gabungan bahan seperti kulit Frau, Alcantara, aluminium krom dan gentian karbon.

Mendapat khidmat enjin V8 – 90° turbo yang tergolong dalam keluarga enjin memenangi kategori Enjin Terbaik selama empat tahun berturut-turut dalam Anugerah Tahunan Enjin Antarabangsa sudah pasti jentera ini akan memberi kepuasan.

Bunyi deruman enjin jentera ini tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi ia mampu menghasilkan kuasa 620hp dan tork 760Nm.

Enjin itu kemudian digandingkan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang diperkenalkan pertama kali pada model SF90 Stradale.

Roma mampu memecut 0 hingga100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan kelajuan 200km/j yang boleh dicapai dalam masa 9.3 saat. Sementara kelajuan maksimum pula boleh mencecah 320km/j.

Ferrari turut memperkenalkan sistem pilihan ADAS (SAE Level 1) yang merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif, Brek Kecemasan Sendiri, Amaran Penukaran Lorong dengan Pengesan Isyarat Trafik, Pengesan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang dan Kamera Pandangan Sekeliling.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button