
ACURA TLX, INI LAWANNYA BMW, MERCEDES-BENZ & AUDI!
Di pasaran tempatan jenama premium dari Eropah ibarat bersaing sesama sendiri. Lexus ada memberi saingan tetapi penjenamaan BMX dan Mercedes-Benz masih lagi kuat.
Namun senario seperti itu tidak berlaku di Amerika Syarikat. Jenama Jepun betul-betul bersaing bagi menunjukkan mereka mampu mengeluarkan kereta premium yang hebat.
Ambil contoh Acura TLX terbaru ini, sekali pandang sudah jelas hala tuju persaingannya.

Berdasarkan data daripada Urban Science, Januari 2018 – Disember 2018, Acura TLX berjaya mengatasi jualan retail banyak pesaing lain seperti BMW, Lexus, Audi dan Infiniti.
Ini dah tahap hebat dan membanggakan.
Bermain di tanah Amerika Syarikat, sesaran enjin adalah penting. TLX terbaru ini dibekalkan dua pilihan enjin iaitu 2.4 liter i-VTEC® dan 3.5 liter i-VTEC® V6.
Enjin 2.4 liter mempunyai kuasa 206 hp dan dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan klac berkembar manakala enjin 3.5 liter pula berkuasa 290 hp dan dipadankan dengan transmisi sembilan kelajuan automatik.
Selain enjin, penawaran jenis pacuan juga penting. Model 2WD dilengkapi teknologi Precision All-Wheel Steer™ (P-AWS™) sebagai standard.
Teknologi ini membolehkan kawalan sudut toe roda belakang kiri dan kanan dibuat secara bebas yang memberikan pengendalian lebih jitu, kawalan semasa kelajuan rendah dan juga kestabilan semasa kelajuan tinggi.
Model TLX V6 pula dilengkapi teknologi terkenal Acura iaitu Super Handling All-Wheel Drive™ (SH-AWD®).
Teknologi ini membolehkan pengagihan kuasa tujahan sehingga 70 peratus ke roda belakang dan sehingga 100 peratus untuk roda belakang bahagian kanan atau kiri.
Teknologi ini memberikan tahap kawalan yang cemerlang dan kelincahan dalam pelbagai jenis cuaca.
Terdapat empat warna pilihan iaitu Canyon Bronze Metallic, Majestic Black Pearl, Performance Red Pearl dan Apex Blue Pearl khusus untuk TLX A-Spec.
Harga Acura TLX bermula daripada $33,000 (RM136,496) untuk 2.4L Standard hingga $45,950 (RM190,061) untuk varian 3.5L V6 SH-AWD (Advance Package).
Harga yang sangat berpatutan untuk sebuah sedan premium dan berada di liga harga Honda Accord dan Toyota Camry untuk pasaran tempatan.
1 USD = RM 4.136
- BACA: ACURA RLX 2018 – SAUDARA DEKAT HONDA LEGEND
- BACA: INILAH KERETA-KERETA JEPUN YANG TELAH MENGUBAH DUNIA
- BACA: BERITA SANGAT BOSAN. LEXUS/TOYOTA MENANG LAGI – JD POWER