Buletin

BUGATTI CENTODIECI – 1,600PS, RM37 JUTA, SUDAH HABIS DIJUAL!

Bugatti dilihat kembali ke Pebble Beach dengan memperkenalkan satu lagi hypercar yang dikenali sebagai Centodieci.

Bermaksud 110 dalam Bahasa Itali, Centodieci dibina bagi meraikan ulang tahun ke-110 penubuhan Bugatti dan memperingat supercar ikonik tahun 1990-an EB110.

Dihadkan kepada 10 unit sahaja, jentera itu ditawarkan pada harga €8 juta (RM37 juta).

Kesemua 10 unit dikatakan sudah habis dibeli dan hanya dua unit Centodieci dihasil setahun.

Walaupun tampil dengan rekaan moden, namun ia tetap menerima pengaruh EB110. Pada bahagian hadapan, grilnya lebih kecil berbanding apa yang ada pada model-model Bugatti yang lain.   

Lencana pula diletakkan pad hud. Tiang B berbentuk C juga ditiadakan dan diganti dengan lima corong kemasukan udara berbentuk berlian. Sementara rekaan bahagian belakang diambil daripada EB110 dengan gugusan lampu nipis dan panjang.

Centodieci dikuasakan oleh enjin W16 bersesaran 8.0 liter yang mampu menjana 1,600PS.

Tenaga itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.4 saat. Pecutan pula dihadkan secara elektronik kepada 380km/j.

Berat jentera itu berjaya dikurangkan sebanyak 20kg berbanding Chiron apabila Bugatti menggunakan penggilap cermin dan cermin sisi lebih ringan yang diperbuat daripada gentian karbon.  

Pelanggan boleh memilih warna kegemaran untuk diletakkan pada badan Centodieci.

Google ads
Back to top button