Buletin

BUGATTI CENTODIECI SEDIA DIPRODUKSI SETELAH DIUJI SEJAUH HAMPIR 50 RIBU KM

Bagi mereka yang ketinggalan bas, Bugatti sebelum ini telah memperlihatkan sebuah model hypercar Centodieci produksi terhad sebagai meraikan ulang tahun jenama itu yang ke-110.

Centodieci membawa maksud 110 dalam bahasa Itali, dan meskipun rekaan luar membawakan inspirasi daripada model Bugatti EB110, secara asasnya ia masih lagi sebuah Chiron.

Biarpun menggunakan asas daripada sebuah model yang sudah tersedia pantas, Bugatti tidak pernah bermain-main soal kualiti dan prestasi.

Malah, jenama itu dikatakan menguji secara terperinci keupayaan model prototaip Centodieci sejauh 49,890 km, dengan purata jarak hampir 1,200 km untuk satu hari, termasuklah kemampuan untuk mencapai kelajuan tertinggi 380 km/j.

Disebabkan ia menggunakan asas daripada Chiron, Centodieci menampilkan enjin W16 bersesaran 8,000 cc dengan bantuan empat turbo yang berupaya menghasilkan kuasa setinggi 1,578 hp, dan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 2.4 saat.

Sebanyak 10 unit sahaja Centodieci akan diproduksikan dan kesemua unit dijangka akan dihantar kepada pemiliknya menjelang akhir tahun ini.

Google ads
Back to top button