Artikel Pilihan

BAGAIMANA BUGGATI CHIRON CAPAI 490KM/J?

Bagi peminat kelajuan,mereka tidak pernah puas. Mula-mula nak capai 100km/j, kemudian 200lm/j, lepas tu makin lama makin laju sehingga ia menjadi cabaran kepada jurutera bagi menghasilkan kereta yang cukup laju. Ia merupakan satu pembuktian kepada pihak lawan bahawa, mereka masih otai dalam menghasilkan kereta paling laju.

Dalam menghasilkan kereta bagi memecahkan rekod halaju melebihi 300 mph ataupun 482.8km/j, banyak halangan kejuruteraan yang perlu diatasi. Anda perlukan enjin yang cukup berkuasa untuk mengatasi daya seretan aerodinamik, daya seretan tayar, faktor kehilangan kuasa dalam transmisi, bagaimana sistem penyejukan berfungsi dan tayar yang boleh bertahan pada kelajuan tinggi.

Jadi kita akan kupas kejuruteraan Buggati Chiron dalam usaha mencapai halaju 490.5km/j.

Berapa kuasa enjin yang perlu dihasilkan?

Bagi memastikan Chiron boleh melepasi halaju 490.5km/j, perkara pertama yang perlu dibuat ialah menghasilkan enjin yang cukup berkuasa. Jurutera perlu mengira berapakah kuasa kuda minimum yang diperlukan bagi mencapai halaju ini. Faktor yang diambil kira ialah seretan aerodinamik, seretan tayar dan kecekapan sistem transmisi.

Bagi mengira kuasa yang diperlukan bagi mengatasi seretan aerodinamik, maka formula berikut perlu digunakan.

P– ketumpatan udara, U- halaju dalam m/s, A-luas kereta dari sisi depan Cd- pekali seretan

Jadi penulis memerlukan apilkasi Excel untuk membantu membuat pengiraan. Sekiranya perlu penulis boleh mengubah parameter yang digunakan dengan senang. Sekiranya pembaca perasan nilai halaju adalah faktor yang dominan dengan nilai kuasa 3. Nilai pekali seretan 0.36 pula diperoleh daripada laman web Buggati

P ataupun ketumpatan udara di litar ujian Volkswagen dianggarkan pada nilai 1.2 iaitu rendah sedikit berbanding dengan nilai pada ketinggian paras laut iaitu 1.225 kerana litar ujian VW ini terletak pada 63m dari paras laut. Luas permukaan depan Buggati Chiron tidak diketahui namun penulis menjangkakan ia rendah sedikit berbanding dengan Veyron iaitu 2.01m2.

Berikut ialah pengiraan penulis:

Disebabkan penulis gagal mendapat Dean List pada semester akhir dulu, maka pengiraan penulis mungkin salah sedikit. Chiron memerlukan sekitar 1579 kuasa kuda pada flywheel untuk dipandu pada halaju 490.5km/j setelah mengabil kira faktor seretan aerodinamik, seretan tayar dan juga kecekapan mekanikal transmisi. Bagi mengatasi seretan aerodinamik, Chiron memerlukan sekitar 1472 kuasa kuda.

Disebabkan ia menggunakan transmisi DSG, maka kecekapan mekanikal transmisi ini agak tinggi berbanding dengan transmisi lain iaitu sekitar 95%. Mengikut laman web INI, Chiron menghasilkan sekitar 1578 kuasa kuda di flywheel sebelum ia dihantar kepada transmisi dan juga tayar. Manakala laman rasmi Buggati menyatakan brake horse power Chiron ialah 1500 kuasa kuda.

Manakala tayar yang digunakan oleh Chiron merupakan tayar yang dihasilkan khas oleh Michelin dengan menggunakan tayar asal Chiron. Tayar ini dilengkapkan dengan gentian karbon bagi mengukuhkan struktur tayar agar ia mampu bertahan melebihi 500km/j. Jadi pada pandangan penulis, pekali seretan tayar ini telah berkurang dengan banyak dan 30 kuasa kuda sudah memadai untuk menggerakkan tayar ini.

Bagaimana Buggati menghasilkan 1578 kuasa kuda ini? Mereka menggunakan enjin asal daripada Veyron iaitu enjin 8000cc dengan susunan W. Ada 16 silinder semuanya. Bagi mendapatkan kuasa yang lebih, boost yang lebih tinggi digunakan berbanding dengan Veyron iaitu 25% lebih tinggi.

Bagi menahan kuasa yang lebih besar, enjin tersebut direka semula dari awal. Ia lebih banyak menggunakan aloi yang lebih ringan bagi menjadikannya lebih ringan berbanding dengan enjin lama. Rongga kemasukan udara, rongga penyambung udara dan penutup rantai dihasilkan daripada gentian karbon.

Sistem ekzos pula dibina dengan menggunakan aloi titanium dengan berat 20kg sahaja. Turbo pun ada, dan Chiron ini menggunakan 4 set turbo dengan sistem twin turbo. Sepasang turbo akan bekerja sehingga 3800RPM dan sepasang turbo yang lebih besar akan pula diaktifkan sebaik sahaja RPM melebihi 3800. Diameter unit turbo ini 69% lebih besar berbanding yang ada pada Veyron. Jadi jangan hairan ia menggunakan 60,000 liter udara seminit.

Bagi memastikan semua silinder mendapat bekalan petrol yang mencukupi, ia menggunakan rekaan 2 injektor bagi setiap silinder. Ini bermakna ia menggunakan 32 injektor bagi membekalkan petrol dari tangki yang bersaiz 100 Liter. Tangki ini cukup untuk membekalkan petrol selama 9 minit bagi pemanduan dengan laju maksimum

Enjin ini menghasilkan 1600Nm seawal 2000RPM dan sehinggalah 6000 RPM. Buggati menetapkan enjin ini hanya boleh beroperasi dengan minima RON 98 sahaja. Disebabkan Buggati berada di bawah kumpulan VW, maka ia menggunakan transmisi DSG 7 kelajuan yang akan menghantar kuasa pada semua roda untuk cengkaman dan pecutan yang cemerlang.

Sistem penyejukan?

Bayangkan anda ada kereta dengan enjin 1500cc, selepas memandu jauh anda boleh rasa enjin tersebut sangat panas pada bahagian penutup enjin. Bayangkan kalau enjin 8000cc quad-turbo. Jurutera Buggati mendapati ketika berada di halaju maksima, enjin ini menghasilkan haba sekitar 3000 kuasa kuda yang perlu disingkirkan dengan segera.

Jadi Buggati mereka sistem sejukan cecair dengan 2 kitaran yang berasingan. Kitaran cecair penyejuk pertama khas untuk suhu tinggi mengandungi 37 liter cecair penyejuk yang akan dipam pada keseluruhan enjin dalam masa 3 saat sahaja.

Kitaran kedua pula direka untuk suhu yang lebih rendah dengan isipadu cecair penyejuk berjumlah 12 liter. Kitaran kedua ini dihasilkan khas agar Chiron boleh dipandu dengan normal di kesesakan jalan raya dan di jalan bandar tanpa mengalami overheat.

Secara keseluruhan terdapat 10 radiator yang digunakan termasuklah 2 radiator untuk enjin bagi suhu tinggi, 1 radiator enjin untuk suhu rendah, radiator untuk penyejukan sistem hidraulik dan juga sistem differential

Tayar?

Disebabkan pengalaman luas Michelin dalam menghasilkan tayar industri termasuk tayar yang digunakan pada Airbus 380, maka Buggati meminta mereka menghasilkan tayar untuk Chiron. Cabarannya ialah untuk menghasilkan tayar yang mampu memindah tork sehingga 5000Nm bagi setiap tayar

Selain diperkuatkan dengan gentian serat karbon, tayar ini juga diuji daya emparan sehingga 3800 g ( 1g = 9.81 ms-2). Tayar Chiron juga telah diperbesarkan sebanyak 14% pada bahagian depan dan 12% pada bahagian belakang berbanding dengan Veyron bagi membaiki prestasi brek, pecutan, cengkaman pada jalan dan juga pengendalian

Tapi paling menarik ialah Michelin sebenarnya menguji tayar ini di atas rig ujian khas yang digunakan untuk industri aeronatik dan penerbangan. Berdasarkan maklumat Stefan Ellrott Ketua Unit Pembangunan Buggati, Michelin telah menguji tayar sehingga pada kelajuan maksimum 511km/j tanpa meletup

Sistem Brek

Pecutan yang dibuat oleh Chiron bagi 0-100km/j adalah dalam masa 2.4 saat. Manakala pecutan dari 0-400km/h dibuat dalam masa 32.6 saat. Bagi menghentikan Chiron seberat 2000kg ini, Buggati telah memasang rotor brek yang dihasilkan daripada karbon silika karbid. Brek depan bersaiz 420mm dipasang dengan 8 piston dan rotor brek belakang bersaiz 400mm bahagian belakang 6 piston. Piston tersebut dihasilkan daripada titanium

Kaliper brek pula dibuat daripa aloi aluminium dengan kaedah forging bagi pengaliran haba yang bagus. Pada halaju 400km/h Chiron memerlukan jarak 491m untuk berhenti sepenuhnya. Namun kami tidak pasti berapakah jarak yang diperlukan oleh Chiron untuk berhenti sepenuhnya pada kelajuan maksima 490km/h.

Jadi untuk menyejukkan brek, rotor brek ini bukan sahaja direka dengan laluan udara (ventilated) namun terdapat lubang yang dibuat secara cross drilled. Terdapat 3 liang udara pada setiap sisi Chiron dibuat yang akan menghantar udara terus dari luar kepada sistem brek. Disebabkan banyak liang udara dihasilkan untuk tujuan pennyejukan, maka tidak hairan ia hanya memiliki pekali geseran 0.36 sahaja.

Google ads
Back to top button