Buletin

VW T-ROC CABRIOLET, SENSASI SUV BUMBUNG BOLEH LIPAT

Populariti SUV nampaknya sudah mengubah landskap permotoran dunia. Sebelum ini kereta mesra alam seperti hibrid dan elektrik dikatakan bakal mengubah dunia automotif tetapi nampaknya SUV datang menggegar tanpa hebahan besar.

Hampir kesemua pengeluar kereta massa hari ini mempunyai SUV di dalam tawaran mereka. SUV juga berjaya meletakkan sesebuah jenama kembali ke medan persaingan seperti yang sedang dinikmati oleh Proton melalui X70.

Malah penjualan SUV juga membawa laba besar buat pengeluar kereta sport seperti Porsche apabila jualan segmen tersebut jauh mengatasi model tradisional mereka.

Jadi apabila begitu banyak pengeluar sudah memasuki segmen ini, apa pula kelainan yang ada?

Volkswagen mengambil kesempatan tersebut dengan memperkenalkan T-Roc Cabriolet. Ini satu idea bernas dan model itu bakal dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Frankfurt (IAA) 12 September depan.

T-Roc Cabriolet adalah crossover dengan bumbung boleh pertama di dalam segmen kompak yang turut menawarkan gaya pemanduan unik. Model dengan bumbung boleh lipat begini bukan suatu yang asing buat VW.

Sebelum ini VW terkenal dengan Beetle dan Golf versi bumbung kanvas boleh lipat.

Bumbung T-Roc ini adalah jenis automatik sepenuhnya dan boleh dibuka dalam masa sembilan saat sahaja. Operasi buka dan tutup boleh dibuat semasa kenderaan bergerak sehingga kelajuan 30 km/j. 

Dari segi keselamatan penumpang, terdapat satu sistem perlindungan yang tersorok pada lingkungan perehat kepala belakang dan dinaikkan secara automatik  dalam masa beberapa saat sahaja apabila berlaku situasi yang memerlukan.

Selain itu, rangka cermin depan direka dengan pengukuhan tambahan dan beberapa pengubahsuaian struktur dalam memastikan keselamatan penumpang.

Semua ini perlu memandangkan kereta cabriolet tidak mempunyai tiang B dan C seperti kereta konvensional.

Untuk nadi kuasa, pembeli ditawarkan dengan dua pilihan enjin turbo 1.0 L tiga silinder dan 1.5 L empat silinder. Enjin 1.0 L berkuasa 115 PS manakala 1.5 L berkuasa 150 PS dan keduanya dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Selari dengan identiti VW, pembeli turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Terdapat dua varian T-Roc Cabriolet iaitu Style dan R-Line. Varian Style lebih kepada gayaan bersahaja dan menawan manakala R-Line tampil dengan imej sporti dan kelengkapan ekstra seperti kemasan dalaman khas, lampu kabus sebagai ciri standard dan kawalan stereng mengikut kelajuan kereta.

VW T-Roc Cabriolet akan dipasarkan pada tahun depan dan varian sebegini mempunyai pasaran yang kecil di negara kita. Sebelum itu, VW belum memaklumkan sama ada T-Roc versi standard akan ditawarkan di negara kita atau sebaliknya.

Berdasarkan populariti Tiguan dan SUV sekarang ini, kami yakin T-Roc mempunyai daya tarikan untuk dijual di pasaran tempatan.

BACA: VOLKSWAGEN TIGUAN 1.4TSI, ADA KUASA ADA GAYA!

BACA: VOLKSWAGEN VENTO HIGHLINE, SEDAN EROPAH DENGAN NILAI TERBAIK

BACA: VOLKSWAGEN ARTEON 2.0 TSI, PESAING TERDEKAT IALAH GOLF R, BUKAN GOLF GTI

Google ads
Back to top button