Buletin

TEMPOH MENUNGGU TOYOTA ALPHARD, VELLFIRE GENERASI BAHARU PASARAN TEMPATAN LEBIH SINGKAT BERBANDING JEPUN

Ketibaan Alphard dan Vellfire generasi baharu pada awal Julai 2023 di Malaysia sememangnya menjadi sorotan terutama tampil dengan reka bentuk lebih menarik.

Kabin kedua-dua model hadir bernuansa mewah termasuklah skrin panel instrumen TFT 12.3-inci, skrin paparan head-up, bumbung kaca panorama dengan pencahayaan semula jadi, tempat duduk dengan fungsi pemanas dan ventilasi.

Bukan itu sahaja, turut disertakan ialah sistem pencahayaan ambien 64 warna, lampu membaca boleh laras, penggunaan bahan jenis kulit dan woodgrain, manakala semua suis mekanikal dan kawalan butang diletakkan secara optimum untuk mudah dicapai.

Dari segi kuasa, Alphard dikuasakan oleh enjin 2.4 liter turbo T24A-FTS, menghasilkan 275hp dan 430Nm tork. Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi automatik Direct Shift 8-kelajuan.

Untuk Vellfire, ia dijana oleh enjin 2.5 liter 2AR-FE, berupaya menghamburkan kuasa 180hp, 235Nm tork dan dipadankan bersama transmisi CVT-i dengan Sports Sequential Shiftmatic.

Dengan reka bentuk serta perincian mewah dan moden, ia sekali gus membuatkan ramai pelanggan membuat tempahan.

Di Jepun, peniaga terpaksa memberhentikan tempahan kerana tempoh menunggu bagi kedua-dua model generasi baharu itu memakan masa hampir dua tahun.

Walau bagaimanapun, di negara kita, peniaga masih menerima tempahan untuk kedua-dua model generasi AH40 2023 bahkan, tempoh menunggu bagi pasaran tempatan adalah lebih singkat iaitu sekitar 12 bulan sahaja.

Menurut Toyota, kepentingan akan didahulukan untuk pasaran luar berbanding di Jepun sendiri, lebih-lebih lagi, peruntukan diberikan kepada Malaysia, sebenarnya jumlah yang sangat kecil.

Jurang besar dalam permintaan berbanding penawaran ini juga menjadikan nilai jualan semula terbalik. Pengedar kereta terpakai dan pengeksport kereta di Asia Tenggara menawarkan pembeli di Jepun untuk menjual kereta mereka dua hingga empat kali ganda berbanding harga jualan kereta baharu.

Di Malaysia, Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu kini tersedia untuk tempahan pada harga RM538,000 (Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge) sementara Toyota Vellfire 2.5 mempunyai tanda harga RM438,000. – Wapcar

Google ads
Back to top button