Buletin

LAGI PROTON SAGA DIHEMPAP OBJEK DI SUKE? BUKAN, INI KES LANGGAR LARI

Lewat malam semalam, timbul beberapa keping foto yang mendakwa sebuah Proton Saga mengalami kerosakan akibat dihempap objek ketika melalui Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Bukit Cheras. 

Sehari sebelum itu, kami ada melaporkan bahawa seorang wanita nyaris maut apabila keretanya (juga Proton Saga) remuk teruk kerana dihempap oleh bongkah konkrit yang merupakan dinding parapet lebuh raya berkenaan. 

Bagi mengelakkan kekeliruan, PROLINTAS telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman Facebook menyatakan bahawa insiden berkenaan tiada kaitan dengan Projek SUKE.

“Ia merupakan kemalangan jalan raya yang kini dalam siasatan polis. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, insiden tersebut diklasifikasikan sebagai kejadian langgar lari.

“Justeru, PROLINTAS memohon warga internet untuk menghentikan penyebaran maklumat tidak benar yang mengaitkan insiden ini dengan projek SUKE.

“Tunggu kenyataan rasmi pihak berkuasa sebelum membuat komen, berkongsi dan membuat kenyataan di mana-mana laman media sosial,” jelas PROLINTAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kerja Raya mengarahkan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden dinding parapet yang jatuh menghempap sebuah kereta pada Sabtu lalu. 

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan dan nyawa orang awam. 

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah diarah untuk menjalankan audit komprehensif ke atas akaun dan setiap kakitangan yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan tersebut. 

“Kejadian sebegini boleh dielakkan sekiranya semua pihak yang terlibat mematuhi semua sistem kerja dan prosedur dengan betul, berdasarkan kepada garis panduan yan telah diluluskan. Mereka juga mesti mematuhi segala spesifikasi dan kontrak,” kata Fadillah dalam satu kenyataan. 

Fadillah turut memberitahu kerja-kerja mengukuhkan dinding parapet yang perlu dipateri dengan besi telag disiapkan pada pukul 5 pagi Ahad berdasarkan kepada arahan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). – Bernama. kredit foto: KL Foodie 

Google ads
Back to top button