
EVO DAPAT SENTUHAN CAT ISTIMEWA. DAH MACAM DALAM MAINAN VIDEO PULA
Rasanya tiada lagi, Mitsubishi Lancer Evolution yang memiliki sentuhan warna hitam begitu pekat menggunakan cat dikenali sebagai Musou Black didatangkan khas dari Koyo Orient Japan.
Fonzie daripada DipYourCar berjaya memperoleh cat berkenaan yang menyerap 99.4 peratus cahaya sekali gus memberi kesan dramatik pada jentera itu.
Ketika proses mengecat dilakukan, YouTuber itu menyapu beberapa lapisan pada panel luaran Evo terbabit.
Dia mendapati Musou Black merupakan cat yang cukup halus dan tidak sesuai digunakan pada kenderaan terutama apabila jentera berdepan pelbagai elemen setiap hari.
Begitupun, tolak ketepi dahulu soal itu, ini kerana keputusan sentuhan cat tersebut amat menakjubkan.
Dalam rakaman video, kelihatan EVO yang mendapat sentuhan car istimewa seolah-olah bukan dalam dunia nyata tetapi kenderaan permainan video kerana serapan cahaya terlampau pada jentera.

Selain, rim, tayar dan fascia hapadan serta bahagian cermin, hanya kelihatan bayangan Mitsubishi Evo sahaja.
Menurut Jalopnik, ini bukan kenderaan pertama yang mendapat sentuhan hitam pekat sebegini kerana tahun lalu BMW pernah mendedahkan X6 mendapat cat istimewa dari syarikat Surrey NanoSystems dikenali sebagai Vantablack.
Cat berkenaan boleh menyerap cahaya sehingga 99.965 peratus cahaya menjadikan ia lebih gelap berbandng Musou Black. – carscoops.