Buletin

WANITA PANDU SAGA BLM NYARIS MAUT DIHEMPAP BONGKAH KONRIT DI SUKE

Semalam (Sabtu) tular satu klip video sebuah Proton Saga BLM yang remuk teruk akibat dihempap sebuah bongkah konkrit pembinaan berukuran satu meter persegi di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). 

Mujurlah wanita berkenan tidak mengalami kecederaan serius biarpun terperangkap di dalam kereta. Orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu yang melihat kejadian membantu untuk mengeluarkannya. 

Memetik laporan Astro Awani, mangsa yang berusia 25 tahun itu melalui kawasan berkenaan di Lebuhraya MRR2 berhampiran Stesen Minyak Shell, Bandar Tasik Selatan dari Sungai Besi menghala ke Ampang. Namun, secara tiba-tiba bongkah besar berkenaan jatuh tepat di atas kenderaan yang dinaikinya.

Dia yang mengalami kecederaan di tangan kiri kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM).

Insiden tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Assisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. Menurut Mohamed Mokhsein, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang.

Wanita itu kini berada di Zon Kuning, HUKM dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Berikutan kejadian itu,  Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) mengeluarkan arahan supaya kerja-kerja  di tapak projek pembinaan SUKE dihentikan serta-merta.

Prolintas dalam kenyataan malam semalam juga memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut. 

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul daripada insiden ini amatlah dikesali. SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi keselamatan semua,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan saluran komunikasi SUKE di talian 1-300-88-9922, laman sesawang www.mysuke.com.my serta di Facebook Prolintas Highways atau Twitter @mySUKEofficial. – Astro Awani, Sinar Harian 

Google ads
Back to top button