Artikel Pilihan

ACTIVE SHIFT CONTROL, INOVASI HYUNDAI YANG PADU

Selain daripada berita pencemaran udara yang disebabkan oleh burung merpati, berita automotif dunia diwarnai oleh perkembangan inovasi dari negara Korea khususnya dari syarikat Hyundai. Dulu saya beranggapan Hyundai hanyalah syarikat yang hanya mengikut jejak langkah pesaing dari Jepun. Namun sejak kebelakangan ini Hyundai meletakkan satu tanda aras baru dalam teknologi enjin, transmisi, dan juga sistem hibrid. Pada awal perkembangan teknologi hibrid, pengeluar seperti Honda dan Toyota menggunakan transmisi CVT bagi menggabungkan kuasa enjin dan juga motor elektrik di atas beberapa sebab.

Salah satu sebab ialah kecekapan sistem transmisi CVT itu sendiri, ia lebih mudah dan ringkas untuk dihasilkan dan dipasang dan kuasa elektrik boleh menghantar kuasa pada sepanjang masa kerana CVT adalah transmisi tunggal boleh laras. Namun atas perkembangan semasa dan kehendak pengguna yang mahukan kereta hibrid mereka terasa lebih sporti, maka CVT dipinggirkan dan memberi laluan kepada gear klac berkembar.

Ya gear klac berkembar ini lebih sporti dan ada “feel” dia tersendiri, namun motor elektrik hanya boleh dipautkan pada satu klac sahaja. Satu klac lagi akan bergantung pada enjin semata-mata. Agak sukar untuk kita mengeksploitasikan gear ini. Kadang-kala terasa jugak pertukaran gear yang dibuat ada sedikit “jerking” terutama ketika merayap keluar dari taman perumahan ataupun kawasan parkir kenderaan jika anda tersilap menekan pedal minyak dengan kuat. Pengeluar kereta juga mengelakkan penggunaan pengubah daya kilas atau torque converter di dalam transmisi CVT bagi mengelakkan pembaziran tenaga.

Namun kumpulan Hyundai/Kia memutuskan untuk menghasilkan kenderaan hibrid yang lancar dipandu dan dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan dan dipadankan dengan enjin 2000cc SmartStream GDi HEV yang menghasilkan 152 kuasa kuda dan 188Nm tork. Motor elektrik pula akan menghasilkan 50 kuasa kuda dan 205Nm tork. Gabungan motor elektrik dan enjin menjana sekitar 192 kuasa kuda dan masih lagi memberi penjimatan sekitar 20km per liter petrol. Motor elektrik tadi akan dipadankan terus dengan transmisi automatik

Walaupun transmisi 6 kelajuan serta menjimatkan bahan api, namun bagi memastikan kelancaran penukaran gear sistem ini memerlukan proses penukaran gear dibuat secara lebih perlahan berbanding dengan penggunaan pengubah daya kilas. Bagi mengatasi masalah gear ditukar secara lambat ini, Hyundai memperkenalkan Active Shift Control dalam transmisi sistem hibrid mereka bagi mengambil alih tugas pengubah daya kilas.

Active Shift Control ini membenarkan motor elektrik untuk mengambil bahagian dalam proses penukaran gear dengan bantuan perisian khas kepada unit kawalan tenaga hibrid (Hibrid Control Unit) bagi mempercepatkan proses penukaran gear. Motor elektrik akan memastikan pertukaran gear dibuat hanya ketika kelajuan enjin (RPM) dan transmisi adalah sama. Hasilnya penukaran gear dibuat secara lancar dan lembut tanpa rasa sentapan atau “jerking”. Ia dibuat berdasarkan input dari unit sensor yang dipasang transmisi dan juga motor yang akan memberi data kepada unit Transmission Control Unit.

Perisian ini Active Shift Control ini merupakan perisian naik taraf “shift control logic” dalam unit kawalan sistem hibrid. Sistem ini akan memantau unit transmisi 500 kali dalam sesaat dan memberi arahan kepada unit motor elektrik supaya memadankan putaran enjin agar berputar pada RPM yang sama dengan unit transmisi

Hasilnya proses penukaran gear yang mengambil masa selama 500 mili saat sebelum ini dipendekkan menjadi 350 saat sahaja atau 30% lebih baik berbanding dengan sistem lama. Sebagai bonus, pecutan kereta akan bertambah baik dan penjimatan bahan api akan meningkat. Disebabkan proses penukaran gear dibuat secara teliti dan diselaraskan antara enjin dan transmisi, maka geseran yang berlaku adalah sangat minima dan secara tidak langsung jangka hayat unit transmisi akan bertambah baik.

Jadi apa yang dibuat oleh Hyundai ini sangat mengkagumkan. Pertama mereka tidak menggunakan CVT untuk sistem hibrid kerana walaupun CVT ini cekap namun ia gagal menyerlahkan”feel” pemanduan. Transmisi klac berkembar tidak digunakan kerana ia lebih kompleks dan 2 motor elektrik diperlukan jika sistem bantuan elektrik diperlukan untuk aktif sepanjang masa. Kalau guna satu motor elektrik sahaja, hanya satu gear sahaja yang akan mendapat bantuan hibrid. Jadi mereka gunakan transmisi 6 kelajuan automatik agar pemanduan sporti dapat dikekalkan dan bagi mengatasi masalah penukaran gear yang lambat, sistem ASC dicipta dengan motor elektrik berfungsi sebagai penyelaras penukaran gear.

Jadi keseluruhan sistem unit trenkuasa kekal ringkas, ada rasa sporti dan cekap tenaga. Kalau Hyundai terus berusaha mungkin mereka akan mengatasi pesaing mereka dari Jepun dalam inovasi. Mungkin Hyundai yang akan menetapkan tanda aras teknologi dan trend terbaru. Oh ya perasan tak bumbung Sonata berwarna hitam? Ia sebenarnya panel solar untuk mengecas bateri sistem hibrid.

19 tahun yang lepas penulis pernah membayangkan adakah kereta boleh dicaj dengan menggunakan cahaya matahari untuk bergerak. Proses pengecasan selama 6 jam sehari membolehkan kereta ini bergerak sejauh 1300km setahun. Terima kasih Hyundai kerana merealisasikan cita -cita penulis

Google ads
Back to top button