,
Artikel PilihanPandu Uji

PANDU UJI: HYUNDAI TUCSON, KIMCHI TURBO DENGAN DCT YANG LAZAT

Sebut sahaja jenama Hyundai, pelbagai perkara dan persepsi yang akan timbul di dalam kepala saya dan juga pembaca. Ada yang positif dan ada juga yang negatif. Ada yang mencemuh dengan mengatakan harga jualan ia menjunam seperti nilai saham BSKL sekarang.

Namun kereta pertama milik sendiri merupakan sebuah Hyundai Getz dengan kapasiti enjin 1400cc dengan kuasa 98ps mampu membuatkan saya teringatkan kereta tersebut, lebih lebih lagi selepas ia dipasang dengan bar penstabil depan dan juga bar anti oleng belakang.

Tidak seperti dahulu, pasaran Malaysia sebenarnya mula menerima kehadiran jenama Korea dengan hati terbuka.

Malahan pasaran SUV mula menghimpit carta pai pasaran kereta dalam segmen sedan kategori C. Honda CR-V memiliki kelebihan sebagai sebuah SUV yang matang, luas dan mempunyai rekabentuk cemerlang. Proton X70 hadir dengan pelbagai ciri dan spesifikasi yang akan membuatkan pesaing lain malu kesipuan dan dijual dengan harga yang sangat kompetitif. Mazda CX-5 pula hadir dengan ciri bahagian kemasan dalam yang sangat premium dan pengendalian dinamik persis sebuah kereta benua continental.

Jadi masihkah ada ruang untuk Hyundai Tucson bagi pasaran Malaysia?

Spesifikasi Hyundai Tucson

Bulan lepas, Sime Darby Motor telah menjemput pihak Mekanika Malaysia untuk mencuba Hyundai Tucson 1.6 TGDI. Jadi sebelum kita teruskan, lebih baik kita beramah mesra dengan Hyundai Tucson ini dengan lebih mendalam

Varian: Hyundai Tucson 1.6 Turbo TGDI

Panjang: 4480mm

Lebar: 1620mm

Tinggi: 1655mm

Jarak antara roda: 2670mm

Enjin: 1591cc T-GDI (Turbo Gasoline Direct Injection)

Kuasa Enjin: 175 kuasa kuda pada 5500RPM. 265Nm tork antara 1500-4500RPM

Transmisi: 7 kelajuan klac berkembar

Sistem Suspensi: Sistem gantungan bebas depan dan belakang. Depan menggunakan topang McPherson dan belakang menggunakan MultiLink

Saiz Roda: 225/60 denga rim 17inci

Sistem Keselamatan: 6 beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik, Bantuan Mula Mendaki Cerun, Kawalan Brek Menuruni Cerun, Bantuan Brek Kecemasan, Brek ABS, dan Pengurusan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM)

Cesi dan Rekabentuk

Cesi Hyundai Tucson 1.6 TGDI ini berkongsi platform dengan Hyundai Elantra AD dan juga Kia Sportage QL di atas platform yang dinamakan Hyundai – Kia J6.

Hyundai memutuskan untuk menggunakan Advanced High Strength Steel sebanyak 51% manakala ruang penumpang dan pemandu dihasilkan dari proses tempaan besi panas (hot stamping).

Terima kasih kerana memberi peluang kepada Peter Schreyer untuk mengetuai pasukan rekabentuk Hyundai – Kia, Tucson yang terbaru kelihatan lebih dramatik, kemas dan sensual berbanding dengan model lama iaitu Tucson LM.

Walaupun Hyundai dan Kia berkongsi komponen mekanikal, masing masing mempunyai bentuk tersendiri. Kia direka agar kelihatan muda, bertenaga dan agresif manakala Hyundai bersifat minimalis.

Malah Peter juga bertanggungjawab dalam reka bentuk jenama Genesis, satu divisi mewah oleh Hyundai.

Hyundai telah menyegarkan bentuk hadapan, belakang dan rekabentuk rim telah diberi nafas baru bagi memberikan Tucson rekaan elegan, tersendiri dan tampak mewah.

Konsep “Fluidic Sculpture” masih lagi ada, tapi sangat minima. Rekaan gril hadapan digantikan dengan rekaan “Cascading Grille” sebagai identity korporat baru.

Rekaan gril ini disokong dengan sepasang lampu hadapan teknologi LED yang ditemani dengan sepasang lampu kabus dan lampu DRL yang menguatkan ciri sporti Hyundai Tucson.

Bampar depan telah dirombak semula termasuk “skid plate” yang memberikan Tucson bentuk yang lebar dan dinamik.

Rekaan bahagian belakang Tucson ditemani dengan paip ekzos berkembar pada bahagian kanan dipadankan dengan garisan tajam oleh kombinasi lampu posisi belakang menghasilkan satu rekaan yang sekata dengan bahagian bampar depan.

Menarik dan ringkas sahaja, agaknya itulah penekanan oleh pasukan rekabentuk Peter Schreyer. Ruang nombor pendaftaran terletak pada Bahagian bawah bampar iaitu bahagian bawah lampu, diapit dengan lampu reflector. Sama seperti bahagian depan, bampar belakang disudahkan dengan “skid plate” berwarna perak.

Bahagian Dalaman

Tema dalaman berwarna hitam pada bahagian papan pemuka, kemasan pintu dan juga balutan kulit pada kusyen membuatkan ruang dalaman sedikit kelam dan tenggelam walaupun Hyundai cuba menceriakan suasana dengan kemasan berwarna perak pada corong penyaman udara dan juga hiasan roda steering.

Namun pujian harus diberikan kerana Hyundai berusaha keras bagi menampakkan rasa premium melalui jahitan benang timbul berwarna perak pada balutan kusyen, roda steering dan panel instrumen.

Tapi saya kurang berkenan dengan pemilihan tekstur papan permukaan yang nampak sedikit brutal dan sedikit mencacatkan ruang dalaman.

Penggunaan paparan sesentuh skrin bersaiz 7 inci menjadikan ruang dalaman nampak moden tak seperti panel instrumen Elantra, rekaan dia seperti Britney Spears cuba menyanyi semua.

Skrin sesentuh ini senang digunakan dan difahami serta kualiti gambar yang dihasilkan adalah bagus, termasuk kualiti gambar video semasa operasi undur.

Namun sesetengah fungsi memerlukan pemandu menggunakan butang yang ada pada skrin dan mengganggu ergonomik. Namun anda boleh mengakses kebanyakan fungsi melalui butang butang yang disusun di roda steering.

Kualiti panel meter dan jarum nampak terlalu ringkas dan gagal memberikan nilai eksklusif, mungkin sebab binaan nampak terlebih plastik seperti muka ahli politik masa kini.

Hanya panel LCD nampak sedikit moden dengan pelbagai informasi diberikan seperti:

  1. Kedudukan gear semasa samaada D1, D2 dan gear seterusnya
  2. Baki jumlah petrol dan jarak anggaran yang boleh dibuat
  3. Suhu luar dan juga suhu unit transmisi DCT
  4. Mode operasi samaada Eco, Normal atau Sport dengan warna berbeza
  5. Anggaran penggunaan petrol semasa

Konsol panel untuk tombol gear datang dengan opsyen pilihan manual di mana pemandu boleh mengoperasikan sendiri pilihan gear bila mode manual digunakan.

Fungsi Parkir Brek Elektrik, AutoHold, Mode Pemanduan, Kawalan Brek Menuruni Cerun dan Suis Sensor Parkir boleh diakses melalui butang berhampiran dengan tombol gear.

Material penggunaan plastik untuk bahagian ini nampak lebih baik berbanding dengan panel instrumen. Bahagian penutup perehat tangan dibalut dengan kulit dan dihiasi dengan benang jahitan.

Akses kuasa elektrik 12v turut dibekalkan di sini dan ia juga menempatkan corong penyaman udara untuk penumpang belakang.

Butang operasi penyaman udara disediakan dan disusun kemas di bawah corong penyaman udara dengan fungsi 2 zon suhu berbeza. Ia bersifat tradisional, mudah digunakan dan difahami kecuali butang ambilan udara luar yang akan diaktifkan secara automatik setiap kali penyaman udara dihidupkan.

Bau asap lori dan juga asap motor 2 lejang yang masuk akan menyebabkan anda hairan, kenapa fungsi ini perlu dihidupkan secara automatik setiap kali penyaman udara diaktifkan.

Kusyen untuk pemandu juga datang dengan bantuan kuasa elektrik yang boleh diubah dengan 8 cara, cukup selesa, menyokong bahagian pinggang namun rasa kurang menyokong di bahagian bahu. Panel pintu pula dilapik dengan pelapik span lembut dan dibalut dengan kulit.

Kelebihan Tucson berbanding X70 dan CX-5 ialah ruang belakang yang terasa luas dan bahagian penyandar boleh dilaraskan sehingga anda boleh tidur dengan selesa.

Malah penutup ruang kargo boleh diubah mengikut keselesaan penumpang ataupun disimpan di atas lantai pada ruang yang disediakan. Sekiranya hanya ada 2 penumpang, tarik keluar perehat tangan dan ada 2 lagi tempat simpanan botol air disediakan menjadikan perjalanan jarak jauh terasa amat selesa.

Ok perenggan ini ada kritikan , jadi saya berharap pembaca menerima dengan hati terbuka. Hanya ada 2 pengecas telefon yang disediakan dengan spesifikasi 2.1 volt. Satu di depan dan satu dibelakang yang dirasakan perlu ditambah memandangkan harga kereta ini RM 137,488.

Dua lagi akses menggunakan spesifikasi 12v dan anda perlu menggunakan adaptor untuk peranti telefon.

Suis untuk isyarat membelok telah diubah ke sebelah kiri roda steering seperti kelaziman kereta kontinental. Aduh Hyundai, ini kereta Asia Pasifik bukan kontinental.

Disebabkan saya pernah memandu beberapa kereta Korea sebelum ini, acapkali saya mengaktifkan fungsi pengelap cermin ketika ingin menukar lorong. Jatuh saham sebanyak 1.25% wei.

Secara keseluruhan ruang dalaman Tucson masih lagi kelihatan agak “Spartan” atau terlalu ringkas pada pandangan saya. Ia tidak kelihatan sofistikated seperti X70, premium seperti CX5 ataupun selesa seperti Xtrail. Hyundai perlu menilai dan belajar dari pesaingnya dan kejar mereka secepat mungkin.

Prestasi Pemanduan

Sebaik sahaja anda mula duduk di atas kusyen, perkara pertama yang dapat rasakan ialah kedudukan SUV ini tipikal seperti yang lain, sedikit tinggi namun tidaklah terlalu susah untuk masuk dan keluar dari ruang pemandu.

Roda steering sedikit tebal dan sedap digenggam mungkin kerana kualiti balutan kulit yang digunakan. Malah roda steering boleh dilaraskan ketinggian dan memiliki ciri teleskopik memudahkan pelarasan kedudukan pemanduan dengan selesa.

Sedikit mengecewakan kerana pemijak pedal minyak dipasang pada sudut yang sedikit tinggi daripada biasa. Ia akan membuatkan buku lali terasa sedikit lenguh jika dipandu lama.

Jika dinilai di atas kertas, kuasa enjin yang dihasilkan oleh Tucson memang sangat mengujakan sebaik sahaja pedal minyak ditekan oleh pemandu.

Tork maksima 265Nm mula dicapai dari 1500RPM sehingga 4500RPM membolehkan Tucson tangkas bergerak menyelinap di dalam trafik sibuk. Kuasa enjin 177 kuasa kuda dicapai pada 5500RPM membolehkan Tucson mencapai halaju 180km/h dengan pantas dan mudah.

Tak semua orang yang waras memandu SUV dengan laju 180km/h melainkan yang berhati kering dengan niat menguji kestabilan kereta.

Namun sebaik sahaja meter enjin melepasi 4500RPM, kuasa dan tork enjin terasa sedikit pudar kerana tork maksima berada di antara 1500-4500RPM.

Ia akan masih memecut, tapi anda dapat rasakan kuasa pecutan sedikit hambar. Dari segi keselamatan, ia hadir tanpa ciri Pengawasan Titik Buta yang pada hemat saya semakin diperlukan pada zaman sekarang

Kotak gear 7 ratio Tucson ini datang dengan teknologi klac berkembar memang boleh dipuji berbanding dengan model buatan Korea yang lama.

Jika kotak gear yang lama memiliki kecekapan mekanikal yang rendah dan membuatkan prestasi enjin rasa tenggelam, gearbox DCT ini terasa hidup bersemangat dan bertenaga.

Tekan saja pedal dan kereta terus bergerak tanpa sebarang rasa lemau. Jika anda berminat untuk mengoperasikan gear secara manual, tolak saja tombol gear ke tepi dan tukar saja mode pemanduan kepada manual.

Mungkin sebab kereta ini masih baru, pergerakan tombol gear dari posisi D ke manual sedikit ketat, terasa mekanikal dan diiringi dengan bunyi “Thud” yang jelas.

Salah satu kelemahan penggunaan kotak gear dua klac ialah kereta terasa seperti tersentap sentap jika anda terperangkap di dalam kesesakan jalan raya.

Di dalam kesesakan, kereta akan bergerak sedikit dan brek. Pergerakan perlahan dan brek ini membuatkan Tucson seperti kurang sempurna kerana rekabentuk gear itu sendiri.

Set gear ratio 1,3,5 dan 7 dipasang pada satu klac manakala gear 2,4 dan 6 berada di klac yang berbeza. Unit mekatronik yang mengawal klac ini akan sentiasa menukar, menyambungkan dan memutuskan gear dari klac yang berbeza.

Ia sebenarnya masih lagi kotak gear manual, dengan unit mekatronik melakukan penukaran gear untuk anda. Rasanya mungkin seperti anak anda yang baru belajar memandu gear manual di dalam kesesakan jalan raya.

Malah kotak gear Axia terasa lebih lancar jika dipandu di dalam kesesakan jalan. Satu lagi situasi ialah ketika anda mendaki atau memulakan perjalanan dari persimpangan lampu isyarat, kotak gear ni sedikit keliru dan lambat memberikan respon.

Tapi sebaik sahaja anda memasuki lebuh raya atau jalan berliku, kotak gear ini umpama coklat Ritter Sport yang cair dalam mulut anda. Ia lancar, pantas dan memberikan sensasi sentapan setiap kali anda melenjan Tucson.

Sedar tak sedar saya sudah jauh meninggalkan X-Trail yang cuba beradu kekuatan dengan Tucson sejauh 10 tiang lampu jalan. Namun bila dipandu laju ada beberapa pemerhatian yang dibuat mengenai kualiti pengendalian Tucson.

Pertama, terdapat sedikit gegaran yang menjalar masuk ke dalam “steering column” dan berakhir di roda steering yang membuatkan roda steering bergegar halus.

Namun jika anda tidak memberikan perhatian, ia bukanlah masalah serius kerana hanya berlaku ketika halaju melebihi 150km/h dan ketika pedal minyak ditekan. Cadangan saya, mungkin Hyundai perlu memeriksa rekabentuk cagak enjin Tucson

Terdapat bunyi “boom” enjin pada kelajuan tinggi yang meresap masuk ke dalam ruang pemandu depan yang akan membuatkan anda akan rasa kurang selesa jika dipandu untuk tempoh yang lama.

Bunyi tersebut tidaklah terlalu ketara, namun itulah perkara terakhir yang anda mahukan dari sebuah SUV dengan harga RM138k ini.

Sistem suspensi walaupun menggunakan rekabentuk sama dengan CX-5 dan juga X70, kelihatan sangat sibuk pada kelajuan tinggi. Bahagian belakang sedikit membuai seolah olah ia tidak gembira apabila dipandu laju.

Ye salahkan saya kerana sibuk melenjan enjin turbo dan kotak gear klac berkembar ini pada laju yang luar biasa bagi sebuah SUV. Setelah semakan visual dibuat mendapati unit penyerap hentak ini dibuat oleh sebuah jenama tempatan.

Pengalaman saya dengan Hyundai mendapati, penyerap hentak jenama Korea akan sentiasa beraksi dengan lebih cemerlang berbanding dengan jenama tempatan.

Kelebihan Tucson

  1. Lampu utama datang dengan teknologi LED yang cukup terang dengan lampu rendah dan lampu tinggi menggunakan LED yang berasingan. Lampu ini merupakan unit integrasi yang turut menggunakan “LED guide light” dan lampu selekoh yang akan menyala setiap kali ada melalui selekoh
  2. Gabungan lampu belakang dengan “LED guide light”, lampu LED dan lampu kabus malam memastikan kereta ini dapat dilihat pada waktu malam yang gelap
  3. Cermin sisi akan dibuka dan lampu lopak air (ataupun puddle lamp) akan dinyalakan setiap kali sensor mengesan kunci berada dekat dengan kereta. Lampu pada pemegang pintu akan turut diaktifkan. Sekiranya pemandu mengunci pintu kereta, cermin sisi akan dilipat ke dalam.
  4. Pintu ruang kargo boleh dibuka dan ditutup dengan menggunakan remote secara automatik. Pemandu juga boleh membuka dan menutup pintu ini dengan menggunakan butang yang ada pada panel instrumen. Malah terdapat butang pada pemegang pintu belakang yang membenarkan pintu dibuka dan ditutup secara automatik
  5. Terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan iaitu Economy, Normal dan Sport. Setiap mode yang akan diaktifkan akan mengubah warna panel meter LED samaada warna hijau, biru ataupun merah. Ya anda meneka warna dengan mode yang disediakan

Keselesaan, Kekasaran dan Kadar Bunyi

Seperti biasa, saya akan mengambil bacaan kadar bunyi bising yang meresap masuk ke dalam kabin Tucson sebagai panduan untuk bakal pembeli.

Semua ujian ini dijalankan di atas lebuh raya PLUS dengan sistem audio dimatikan. Sekiranya ujian dijalankan di Kawasan PRK Rantau, hasilnya mungkin lebih senyap kerana banyak jalan baru diturap disana.

HalajuKadar Bunyi dBRujukan
8045.8Bunyi senyap di perpustakaan
9054.3Bunyi senyap di pejabat ketika bos ada
10059.9
11060.5Bunyi ahli politik sembang pasal tol
12063.5

Adakah Tucson sebuah SUV yang kompoten?

Jika 15 tahun dahulu kereta buatan Korea membuat penampilan awal dengan memasuki pasaran pada harga yang murah sekitar 20-30% dari jenama buatan Jepun, maka pada tahun ini Proton X70 membuat kejutan dengan formula yang sama.

Hyundai Tucson pula pada harga RM13,688 lebih mahal dari X70 mempunyai kelebihan dari segi kotak gear yang lebih baik dan pecutan yang lebih baik dari X70 walaupun hanya menggunakan enjin 1600cc.

Ini diterjemahkan oleh penggunaan petrol yang cekap oleh Tucson. 62 liter petrol membolehkan Tucson bergerak sejauh 623km ataupun secara purata 10km per liter petrol. Sila maafkan saya kerana selalu melenjan Tucson ini sesuka hati.

Jika Hyundai mahu mencuri pasaran SUV, makai ia harus menilai semula harga jualan yang ditawarkan. Namun jika dibandingkan dengan model terdahulu, Hyundai Tucson sebenarnya menunjukkan kemajuan teknologi yang pantas oleh pasukan Hyundai dan berdiri dengan sendiri tanpa bantuan luar, walaupun rekabentunya diilhamkan oleh Peter Schreyer.

Bentuknya matang dan tidak terlalu pelik seperti Hyundai Kona dan dilengkapi dengan nadi trenkuasa yang tangkas, namun pengendaliannya masih berada di belakang Mazda CX-5.

Jika anda lebih gemarkan sebuah kereta buatan Korea berbanding Jepun atau China, tak salah untuk mencuba sebuah kereta berperisa kimchi.

Ia agak berlainan dengan kereta yang menjadi pilihan ramai dan tak salah untuk menongkah arus sekali sekala. Namun sila pilih 1.6 Turbo dengan kotak gear DCT kerana walaupun ia ada sedikit kelemahan, ia akan memberikan kepuasan pemanduan yang lebih berbanding varian 2.0 Elegance yang berharga RM 119,118.00

Tags
Google ads
Back to top button