Buletin

CEO DREAME RAMAL TESLA ‘TUTUP KEDAI’ DALAM TEMPOH 20 TAHUN?

Dunia automotif tiba-tiba panas apabila pengasas dan CEO Dreame Technology, Yu Hao, melontarkan kenyataan yang cukup pedas terhadap gergasi EV, Tesla.

Dalam satu hantaran media sosial semalam, Yu Hao membuat ramalan mengejutkan bahawa Tesla mungkin tidak akan bertahan dalam pasaran kenderaan elektrik untuk tempoh panjang.

“Dalam 20 tahun, Tesla akan menjadi iRobot dalam sektor EV,” tulisnya.

Beliau mendakwa Tesla bakal mengalami kerugian berterusan sebelum akhirnya keluar dari industri EV sepenuhnya.

Lebih ‘panas’, Yu Hao turut menyindir bahawa Elon Musk mungkin tidak akan mengaku ia kegagalan.

“Sudah tentu Musk takkan mengaku. Dia akan kata Tesla berundur secara sukarela.”

Kenyataan ini terus mencetuskan perdebatan, memandangkan Tesla masih dianggap antara jenama EV paling dominan di dunia hari ini.

Dreame Masuk Dunia Kereta: Perkenal Jenama EV “Star Motor”

Menariknya, kenyataan kontroversi itu muncul serentak dengan pengumuman besar Dreame Technology, syarikat terkenal dengan produk vakum pintar dari China.

Dreame kini rasmi melancarkan jenama automotif baharu mereka iaitu “Star Motor”, bersama tiga model SUV pertama.

Pelancaran dibuat dalam acara khas “Dreame Night” pada 4 Februari.

Barisan sulung Star Motor merangkumi:

  • Star T08 – SUV lasak serba guna
  • Star T08L – SUV hardcore untuk semua permukaan
  • Star D09 – SUV mewah 6-tempat duduk, model perdana

Model D09 ini dikatakan mempunyai rupa yang hampir sama dengan konsep SUV yang Dreame tayangkan pada September lalu, malah pernah digembar-gemburkan sebagai pencabar kepada Rolls-Royce Cullinan.

Dreame turut mendakwa Star Motor akan tampil dengan teknologi canggih termasuk:

  • Sistem stereng roda belakang dua hala 24 darjah
  • Radius pusingan sangat kecil (kurang daripada 0.005 km)
  • Pacuan bebas empat motor pintar
  • Suspensi aktif untuk kawalan dan off-road lebih mantap

Lebih futuristik, Star Motor juga mendakwa memperkenalkan, ‘World’s First Self-Evolving Energy Recovery System, di mana sistem ini kononnya mampu:

  • meningkatkan kecekapan pemulihan tenaga sebanyak 18%
  • menambah baik penggunaan tenaga sehingga 30%
  • memanjangkan jarak pemanduan kelajuan tinggi sebanyak 12%

Dengan ramalan berani terhadap Tesla dan kemunculan jenama EV baharu Star Motor, Dreame jelas mahu masuk gelanggang automotif dengan gaya agresif.

Persoalannya: adakah Tesla benar-benar akan ‘terkeluar’ dalam 20 tahun… atau ini sekadar gimik permulaan Dreame?

Google ads
Back to top button