Buletin

CEO HONDA MOTOR CO BAKAL LETAK JAWATAN. BOS PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN AMBIL ALIH 1 APRIL

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Honda Motor Co, Takahiro Hachigo akan melepaskan jawatan dan diganti oleh Ketua Penyelidikan dan Pembangunan, Toshihiro Mibe pada 1 April nanti.

Mibe berusia 59 tahun menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2019 berganding bahu bersama Hachigo dalam usaha penstrukturan semula syarikat.

Pelantikan Mibe mula dilaporkan Reuters pada minggu lalu, ketika pengeluar Jepun itu berlumba mengejar dalam bidang pembuatan kenderaan elektrik dan berdepan persaingan daripada Tesla, Apple dan Amazon.

“Dia merupakan seseorang yang melihat ke masa hadapan, suatu arah yang perlu diambil oleh Honda,” kata Hachigo dalam satu persidangan mengaitkan kepakaran Mibe dalam teknologi dan tenaga hijau dalam pemilihan terbabit.

Menurut kenyataan Honda Hachigo akan kekal sebagai Lembaga Pengarah syarikat itu.

Sepanjang menjadi CEO selama enam tahun, Hachigo berusaha memudahkan proses pembangunan kenderaan dengan menggabungkan beberapa operasi kereta dan motosikal.

Dia juga bertanggungjawab mengurangkan kos serta memperkemaskan barisan model Honda melalui gabungan kilang di dalam dan luar negara.

Selain itu, Hachigo memainkan peranan penting dalam mengembangkan kerjasama bersama General Motors Co merangkumi pembangunan kenderaan elektrik dan autonomi.

Honda turut akan memberi tumpuan terhadap teknologi sifar emisi dan antara langkah diambil merupakan menarik diri sebagai pembekal enjin Formula Satu (F1) pada penghujung musim 2021. – agensi

Google ads
Back to top button