" "
Buletin

HONDA JEPUN DEDAH HR-V 2021. LEBIH PADU DAN MODEN

Selepas beberapa teaser bermain-main di media sosial, Honda Jepun akhirnya mendedahkan rupa paras sebenar model terbaharu Vezel atau lebih dikenali sebagai HR-V di negara ini.

Dengan rekaan lebih mantap berbanding model sebelum ini, SUV terbaharu ini ditawarkan dengan empat pilihan e: HEV Z, e: HEV PLaY, e: HEV X dan standard G.

Melihat bahagian luaran, HR-V itu mendapat sentuhan rekaan Solid Wing Honda, lampu utama hadapan didatangkan dengan rekaan lebih nipis dipadankan gril bersegi menyerlahkan lagi sisi moden jentera terbaharu tersebut.

Ada juga mengatakan bahagian hadapan kelihatan seperti jentera Mazda. Betul atau tidak?

Selain itu, bahagian belakang yang didatangkan lampu nipis digabungkan housing plat dan elemen lain tersusun rapi menjadikan susunan lebih kemas.

Ruang dalaman pula, menerapkan konsep Human Machine Interface (HMI) dalam memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

Panel meter dan audio terletak kemas dalam posisi yang mudah dilihat ketika memandu malah kedudukan butang-butang pengendalian tersusun rapi tanpa mengganggu postur kedudukan pemandu.

HR-V  didatangkan teknologi Honda Connect, sistem audio dengan sembilan pembesar suara yang mampu memberikan bunyian akustik menarik dan corong pendingin hawa di bahagian kiri serta kanan panel papan pemuka.

Ia turut dilengkapi bumbung panorama dalam memberi kebebasan kepada pemandu dan penumpang menikmati suasana luar.

SUV itu didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan  Honda Sensing merangkumi brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, sistem pengecaman papan tanda trafik serta kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti-mula.

Model pasaran Jepun akan dijana enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC dipadankan kotak gear CVT malah ditawarkan dalam beberapa varian hibrid e:HEV. – Honda Jepun/agensi

Google ads
Back to top button