HARGA CUMA RM10K, HONDA JAZZ KLON LAKU KERAS DI KELANTAN
Honda Jazz klon yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran menjadi faktor utama peminat kereta kompak itu di negeri Kelantan berlumba-lumba untuk membelinya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf memberitahu, sebuah Honda Jazz klon dijual pada harga RM10,000 seunit. Sedangkan harga baru di pasaran adalah sekitar RM80,000.
Berdasarkan kepada pemeriksaan JPJ, kereta klon menjadi pilihan golongan berusia 35 hingga 45 tahun. Mereka membeli kenderaan tersebut melalui laman web yang diperoleh dari Singapura.
Berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak tujuh kereta Honda Jazz klon telah disita. Manakala kenderaan lain seperti tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey dan sebuah Toyota Estima turut dikenakan tindakan sama.
“Pembeli dipercayai mengambil jalan mudah untuk membeli kereta klon tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Ia boleh memberi implikasi kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan kerana tidak dilindungi insurans,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Secara keseluruhan, JPJ Kelantan telah menyita sebanyak 11 buah kereta klon pada tahun lalu dan 10 buah pada tahun 2019.
Rekod keseluruhan kenderaan klon yang disita oleh JPJ sehingga tahun ini pula sebanyak 155 buah dengan ada yang dibeli pada harga serendah RM4,500.
Harus tahu bahawa memiliki kereta klon yang tidak didaftarkan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 7(1), Seksyen 108(3)(f), Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- K!ONLINE
- BACA: KLON YAMAHA R1. 4 PILIHAN ENJIN, NAMA IKUT PENGEDAR NAK LETAK APA, BAKAL DIPASARKAN KE SELURUH DUNIA
- BACA: DAYANG ADV 150. KLON HONDA ADV 150, ADA KAMERA DEPAN BELAKANG, RM8,000 SEUNIT
- BACA: KERETA KLON TERBAIK DARI CHINA. JANGAN BACA KALAU ADA ASMA
- BACA: BARU 4 HARI MELARAM, KERETA KLON BMW 320i MILIK PENIAGA KOSMETIK DISITA