
FORD EVEREST 2026 DILANCARKAN – 2.0L DAN 3.0L, HARGA MULA RM348K
Sime Darby Auto ConneXion-Ford, pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, memperluaskan penawaran SUV lasaknya menerusi pelancaran tiga varian baharu Ford Everest sempena Sime Motors MotorExpo 2026 iaitu Everest Platinum 3.0L, Everest Platinum 2.0L dan Everest Sport 2.0L.
Ketiga-tiga varian baharu ini mengekalkan identiti utama Everest yang terkenal dengan keupayaan lasak, teknologi keselamatan moden, sambungan pintar serta keselesaan premium, namun setiap model tampil dengan karakter tersendiri bagi memenuhi keperluan pengguna berbeza.

Ford Everest Platinum 3.0L —
Sebagai model paling tinggi dalam keluarga Everest, Ford Everest Platinum 3.0L hadir dengan enjin diesel V6 turbo 3.0 liter 4V DOHC yang menghasilkan 250PS pada 3,250rpm serta tork maksimum 600Nm antara 1,750 hingga 2,000rpm.
Kuasa itu dipadankan bersama transmisi automatik 10-kelajuan dengan eShifter, selain sistem pacuan empat roda sepenuh masa ElectroMagnetic Transfer Case (EMTC) yang membolehkan agihan tork dilakukan secara pintar bagi meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika pemanduan mencabar.
Dari sudut rekaan, varian ini menampilkan identiti eksklusif Platinum menerusi gril khas bersama tulisan “PLATINUM” berwarna hitam pada bonet, pintu hadapan dan pintu belakang.

Ia turut dilengkapi lampu Matrix LED bersama lampu siang berbentuk C-clamp yang menyerlahkan penampilan lebih garang dan premium.
SUV tujuh tempat duduk ini juga menawarkan barisan tempat duduk ketiga dengan fungsi lipatan kuasa elektrik, menjadikannya lebih praktikal untuk keluarga besar atau aktiviti berkumpulan.
Bagi meningkatkan kestabilan pemanduan, Everest Platinum 3.0L menggunakan rim aloi 21-inci bersama tayar 275/45 R21.
Ruang kabin pula dilengkapi skrin sentuh pelbagai fungsi 12-inci bersama sistem Ford SYNC®️ 4A dan sambungan tanpa wayar bagi pengalaman pemanduan lebih moden dan intuitif.
Varian ini ditawarkan dalam pilihan warna Acacia Green, Meteor Grey dan Absolute Black.
Ford Everest Platinum 2.0L —

Bagi pengguna yang mahukan SUV premium untuk kegunaan harian, Ford Everest Platinum 2.0L menawarkan keseimbangan antara kemewahan, teknologi dan keupayaan pemanduan.
Ia dijana enjin diesel turbo 2.0 liter yang menghasilkan 170PS dan 405Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan serta sistem pacuan empat roda separa masa Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF).
Dari segi penampilan, model ini menerima gril premium, lampu Matrix LED dan lampu siang C-clamp yang memberikan imej lebih eksklusif di jalan raya.

Ia menggunakan rim aloi 20-inci bersama tayar 255/55 R20 untuk kestabilan dan keselesaan lebih baik.
Di bahagian dalam, Everest Platinum 2.0L dilengkapi paparan sentuh warna 12-inci bersama sistem Ford SYNC®️ 4A dan sambungan telefon pintar tanpa wayar untuk kawalan fungsi kenderaan yang lebih mudah.
Pilihan warna bagi varian ini termasuk Acacia Green, Meteor Grey, Arctic White dan Absolute Black.
Ford Everest Sport 2.0L —
Ford Everest Sport 2.0L pula disasarkan kepada pengguna yang mahukan SUV bergaya sporty dengan keupayaan pemanduan lebih dinamik.

Ia menggunakan enjin diesel turbo 2.0 liter yang menghasilkan 170PS pada 3,500rpm serta tork 405Nm antara 1,750 hingga 2,000rpm.
Sama seperti varian Platinum 2.0L, model ini dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan serta sistem ESOF pacuan empat roda separa masa.
Menariknya, Everest Sport 2.0L kini hadir dengan enam mod pemanduan termasuk mod Mud/Ruts dan Sand yang membantu pemanduan di laluan lebih mencabar.
Penampilan luarnya tampil lebih agresif menerusi gril unik, lampu LED bersama lampu siang C-clamp serta kemasan hitam pada beberapa bahagian badan kenderaan.

SUV ini turut menggunakan rim aloi 20-inci bersama tayar 255/55 R20 bagi memastikan kestabilan dan keyakinan ketika memandu.
Di dalam kabin, Everest Sport 2.0L menerima tempat duduk dua tona baharu yang memberikan suasana lebih sporty tanpa menjejaskan keselesaan harian.
Varian ini ditawarkan dalam pilihan warna Command Grey, Lightning Blue, Arctic White dan Absolute Black.
Ketiga-tiga varian baharu Ford Everest ini kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah Ford di seluruh negara dengan harga bermula;
- Everest Platinum 2.0L: RM348,888
- Everest Platinum 3.0L: RM430,888
- Everest Sport 2.0L: RM316,888
Pelanggan juga berpeluang menikmati kempen Fuel Rush Bonanza yang berlangsung sehingga 30 Jun 2026.
Menerusi kempen tersebut, pembeli kenderaan Ford baharu berpeluang memenangi bekalan petrol percuma selama setahun selain hadiah gaya hidup dan barangan elektronik.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Ford Malaysia serta platform media sosial rasmi.
GALERI:
Ford Everest Sport 2.0L:










Everest Platinum 2.0L:










Everest Platinum 3.0L


















