Buletin

DHL MALAYSIA BAKAL GUNA EV. JALIN KERJASAMA BERSAMA TNB

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan DHL Express Malaysia (DHL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan kerangka rantaian bekalan yang lebih mesra alam.

Kerjasama turut mengetengahkan komitmen kedua-dua syarikat terhadap amalan perniagaan yang menyokong kelestarian alam sekitar.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata MoU ini antara lain akan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam dengan pengenalan kenderaan elektrik (EV) dalam kumpulan kenderaan DHL.

Ia sekali gus menjadi satu lagi pencapaian baharu bagi DHL dalam komitmen logistik pelepasan sifarnya menjelang 2050.

MoU turut membabitkan kerjasama dalam inisiatif karbon sifar dan pengurangan kos termasuk penggunaan peralatan yang cekap tenaga, sistem pengurusan tenaga bangunan dan panel solar pada bumbung.

DHL kini sedang meneliti rantaian bekalan elektrik TNB bagi mengenalpasti peluang untuk penambahbaikan.

“Kerjasama ini memanfaatkan kepakaran kolektif TNB dalam pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan penyelesaian tenaga lestari ke arah masa depan yang lebih mampan bagi negara.

“Seiring dengan pertambahan penggunaan kenderaan elektrik oleh DHL pada tahun-tahun akan datang, TNB berhasrat menyediakan lebih banyak stesen pengecas EV di fasiliti dan laluan penghantaran DHL,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo dan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan menandatangani MoU itu yang akan berkuat kuasa bermula 10 Jun 2021 bagi tempoh 12 bulan akan datang.

TNB memacu kerjasama ini dengan pemasangan infrastruktur pengecas EV di fasiliti dan lokasi strategik sepanjang laluan perkhidmatan, manakala DHL Express pula akan melancarkan kumpulan pertama van EV di pusat perkhidmatannya di Kuala Lumpur menjelang awal tahun hadapan.

Di Malaysia, Neo berkata DHL turut menyediakan perkhidmatan tambahan pelaporan karbon yang membolehkan pelanggan menganalisa dan mengurus jejak pelepasan karbon mereka.

“Pelanggan juga boleh mendapatkan pengiraan dan pengimbangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang disahkan bagi sebarang perkhidmatan pengangkutan dan logistik kami menerusi projek pemeliharaan iklim.

“Menerusi usaha kolektif seperti kerjasama dengan TNB, DHL mampu menawarkan nilai jangka masa panjang kepada komuniti di mana kami berkhidmat, di samping mencapai matlamat kumpulan bagi pelepasan gas rumah hijau sifar menjelang 2050,” katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button