Buletin

MAUT TOYOTA AYGO DIHEMPAP POKOK, KETIKA TUNGGU RAKAN ZIARAH KUBUR

Seorang lelaki menemui ajal selepas kereta Toyota Aygo dinaikinya dihempap pokok kepuh ketika menunggu rakan menziarah kubur di Desa Kukuh, Boyolali, Indonesia.

Menurut laporan Tribunnews, ketika kejadian, hujan renyai serta angin kencang melanda kawasan berkenaan dan mangsa dikenali sebagai Cahyo Suryanto, 44, sedang menunggu di dalam kereta ketika rakannya menziarah kubur.

Angin kencang menyebabkan pokok pada ketinggian 100 meter itu tumbang dan menghempap kereta yang dinaiki mangsa.

Jurucakap polis, Markojo memberitahu, kereta mangsa remuk akibat dihempap pokok tumbang tersebut, selain dua pejalan kaki turut mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.

“Selain kereta, sebuah rumah turut mengalami kerosakan akibat insiden terbabit.

“Penduduk yang cedera dan jenazah Cahyo dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Markojo menambah pokok tersebut tumbang berikutan keadaannya yang sudah tua.

Dalam pada itu, penjaga kubur, Surip berkata mangsa pernah melahirkan hasrat membina masjid berdekatan kawasan kubur tersebut sejak sebulan lalu. –Tribunnews

Google ads
Back to top button