
DKLS TAWAR PERKHIDMATAN SEGMEN B2C PENUHI CITA RASA PENGGUNA
DK Leather Seats Sdn. Bhd. (DKLS) menceburi segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) melalui cabang jenama domestik, DK Schweizer dalam mengembangkan sayap perniagaan lebih meluas kepada pengguna.
Syarikat menjadi pengeluar kulit upholstery sejak tahun 1997 itu, menyasarkan menawarkan perkhidmatan khusus dalam memenuhi permintaan pengguna yang ingin memiliki tempat duduk kulit kenderaan mengikut cita rasa mereka.

Pengarah DKLS, Lesley Koek berkata pihaknya berusaha menjadi perintis dalam menggabungkan reka bentuk tempat duduk kulit kenderaan yang inovatif dan kreatif dengan merangkumi teknologi, kualiti serta nilai untuk wang pengguna.
“Kami ingin para pelanggan merasai pengalaman yang mewah dan selesa pada harga berpatutan tidak kira kenderaan dimiliki mereka.
“Bahkan, ia merupakan tawaran produk pertama seumpamanya di rantau ini dalam memenuhi permintaan individu yang ingin menikmati pengalaman pemanduan menyeronokkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, para pelanggan tidak perlu bimbang berhubung kelengkapan kulit yang digunakan kerana memiliki pusat ujian dalaman bagi memastikan semua bahan dan kelengkapan melalui Ujian Kawalan Kualiti (QC).

DKLS memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan bahan serta templat kustom yang dapat disesuaikan untuk model kenderaan terbaharu domestik malah luar negara.
Pangkalan data pula, merangkumi lebih 10,000 paten tempat duduk dan model kenderaan.
Selain itu, syarikat berkenaan turut memiliki mesin jahit berteknologi tinggi dalam memastikan kemasan jahitan beg udara dan tempat duduk kulit diuji serta diperakui oleh TUV Rheinland Group.