Artikel Pilihan

SEJARAH RECARO – PENERAJU TEMPAT DUDUK KENDERAAN TERULUNG

Dari pembuat pelana kuda ke peneraju dunia

Kejayaan syarikat RECARO Automotive Seating bernula di Stuttgart pada tahun 1906 bila seorang pembuat pelana kuda berusia 32 tahun, Wilhelm Reutter mengasaskan sebuah syarikat pembuat koc khusus untuk kenderaan mewah, kereta dan kemasan kereta kuda. Syarikat tersebut kemudiannya menempa nama dalam industri automobil yang pada masa itu berpusat di Stuttgart. Di bandar itulah syarikat-syarikat lain seperti Bosch, Maybach dan Daimler muncul menjadikannya pusat automotif pada ketika itu.

Perniagaan Wilhelm berkembang maju pada tahun 1910 dan beliau menukar nama perniagaan beliau kepada ‘Stuttgart Coachwork Reutter and Co’. Pereka tempat duduk ini seorang yang innovatif dan berfikiran terbuka terhadap penciptaan kenderaan jenis baru. Contohnya pada tahun 1912, bengkel beliau telah mempatenkan ciptaan yang dinamakan Reutter’s reform Coach Body yang merupakan pengenalan kepada konsep cabriolet moden.

Reutter juga membuat badan kenderaan untuk Daimler-Benz, Horch dan banyak lagi. Tidak ketinggalan juga beberapa syarikat terkenal dalam industri yang turut menerima sentuhan Reutter.

Pada tahun 1935, Professor Ferdinand Porsche mempunyai sebuah prototaip Volkswagen (kemudian dikenali dengan nama Beetle) dan membinanya di dalam bengkel kepunyaan Reutter bersama dua syarikat lain selepas Perang Dunia. Reutter juga turut menghasilkan badan untuk model lagenda Porsche, 356 yang kemudiannya menjadi cukup popular di seluruh dunia.

Asas kepada syarikat yang dikenali dengan nama RECARO pada hari ini dibentuk pada tahun 1963, bila Porsche mula menamatkan perkhidmatan rekaan badan oleh Reutter dan mula menghasilkannya sendiri. Reutter telah menukar nama syarikat beliau kepada RECARO, gabungan dua perkataan iaitu REutter (nama beliau sendiri) dan CAROsserie (badan kenderaan).

Syarikat baru ini merupakan pakar dalam pembuatan tempat duduk dan semua komponen tempat duduk. Tempat duduk sports RECARO diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1965 dania mula menjadi terkenal dalam arena perlumbaan.

Pada tahun1969, RECARO telah dibeli oleh syarikat saingnya, KEIPER dan memecahkan pegangan saham syarikat kepada tiga bahagian. Dua syarikat lagi yang memegang kepentingan RECARO ialah Hubbert & Wagner dan Metzeler.

Tapi pada tahun 1983, KEIPER kembali mengambil semua kepentingan RECARO dibawah naungannya dan dinamakan KEIPER RECARO GmbH & Co. KG. Firma ini mula menghasilkan tempat duduk konsep RECARO yang inovatif khusus sebagai kelengkapan standard kereta. Mereka juga turut mengeluarkan varian “RECARO Aoircomfort” khusus untuk kapal terbang.

BACA: EVO TOMMI MAKINEN INI TERJUAL PADA HARGA RM 259 RIBU !

Tahun 1997, syarikat menjalani penstrukturan semula dengan syarikat bawahan RECARO Aircraft Seating GmbH & Co memfokuskan operasi mereka khusus untuk tempat duduk pesawat. Satu lagi anak syarikat, KEIPER GmbH & Co beroperasi secara global dalam menghasilkan pelbagai komponen untuk tempat duduk kenderaan. RECARO home GmbH & Co ditubuhkan sebagai sebuah syarikat yang mengeluarkan perabut kulit.

Jun 2011, kumpulan Johnson Controls dari Amerika Syarikat telah mengambil alih Keiper GmbH & Co dan RECARO Automotive GmbH &Co. Johnson Controls sebagai pemegang lesen jenama RECARO telah memperolehi hak eksklusif tanpa had sekatan untuk memasarkan jenama tempat duduk kenderaan RECARO di seluruh dunia.

Semua produk jenama RECARO kini adalah milik RECARO Group, Stuttgart yang merupakan pemilik dan pemegang lesen tempat duduk kenderaan jenama RECARO.

Pada 31 Oktober 2016, Johnson Controls telah memindahkan operasi perniagaan automotifnya kepada Adient, sebuah syarikat baru yang kemudiannya muncul sebagai pengeluar tempat duduk kereta terbesar di dunia. RECARO Automotive Seating juga kini bernaung di bawah Adient, yang terus menggunakan nama jenama RECARO untuk produk tempat duduk keluaran mereka.

Google ads
Back to top button