Buletin

TASIK AKSEHIR KERING KONTANG. KENDERAAN PUN BOLEH LALU

Sebuah tasik utama di wilayah Konya, Turki menjadi kering sepenuhnya di­sebabkan kesan pemanasan global dan pengairan pertanian yang tidak bertanggungjawab, kata pakar.

Malah, dasar tasik menjadi begitu kering sehingga kende­raan boleh dipandu di atas permukaannya.

Tasik Aksehir sebelum ini sedalam 19 kaki atau lebih enam meter dan pernah menjadi sumber air bagi beberapa wilayah berhampiran, kini tandus.

Profesor Geologi di Universiti Konya, Tahir Nalbantcilar berkata, tasik itu pernah menjadi sumber air penting yang menyokong persekitaran dari segi ekologi dan ekonomi.

Malah katanya, tasik itu pernah menjadi sumber air bagi ekosistem setempat.

“Hari ini, kita dapat melihat situasi menyedihkan yang mana anda boleh berjalan di atas dasar tasik yang pernah menjadi bahagian tasik paling dalam.

“Keadaan itu menyebabkan ratusan nelayan hilang pendapatan dan hanya beberapa haiwan meragut tumbuhan kecil di bahagian tertentu di dasar tasik,” katanya kepada Agensi Be­rita Demiroren (DHA).

Menurut Nalbantcilar, tasik itu pernah berdepan musim kemarau pada masa lalu ketika ia berisiko menjadi kering namun sentiasa dapat dipulihkan.

“Tetapi kali ini, kita dapat melihat kesan perubahan iklim dan pemanasan global di Tasik Aksehir.

“Perubahan iklim bukan satu-satunya punca kejadian ini. Telaga yang digali penduduk tempatan juga menjadi antara punca kemusnahan tasik itu.

“Telaga dibina semakin dalam dengan kedalaman me­ningkat,” katanya. – Utusan

Google ads
Back to top button