Buletin

DODGE TIDAK BERI KELULUSAN GUNA CHARGER UNTUK KEGUNAAN POLIS AUSTRALIA

Dodge Charger memang cukup popular di Amerika Syarikat. Malah jentera yang dikuasakan oleh enjin V6 dan V8 itu dijadikan antara model kereta peronda polis di sana. 

Dodge membangunkan Charger untuk pasukan polis dengan pelbagai bentuk naik taraf yang dipasang terus dari kilang. Jentera itu nyata menarik minat sebuah syarikat pengimport kereta untuk membawa masuk Charger bagi kegunaan polis ke Australia. Namun, ia bukanlah semudah yang disangka kerana hasrat itu tidak mendapat sokongan daripada Dodge.

Ketiadaan model Ford Falcon dan holden Commodore membuatkan pasukan polis Australia pening untuk mencari jentera berprestasi tinggi pada harga berpatutan. Jadi, Dodge Charger yang dipasang dengan enjin Hemi V8 mungkin boleh mengisi ruang kosong tersebut. 

Tetapi, Dodge hanya menghasilkan Charger dengan pemanduan sebelah kiri. Menurut portal CarAdvice, Dodge juga tiada sebarang hubungan dengan syarikat pengimport berkenaan, SCD Remanufactured Vehicles. 

Masalahnya, Dodge tidak tahu bagaimana ubah suai SCD akan menjejaskan kualiti pemanduan Charger. Menurut satu kenyataan daripada Dodge, Stellantis dan FCA Australia tidak memberi jaminan atau kelulusan terhadap ubah suai yang dilakukan oleh SCD serta rakan niaganya. 

“Sebarang ubah suai perlu memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan yang ketat daripada kami,” katanya.

Biarpun begitu, SCD dilapor masih komited untuk mengimport dan memenuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan Australia. Harus tahu bahawa pematuhan itu tidak semestinya perlu mendapatkan kerjasama atau kelulusan daripada pengeluar. Tetapi, timbul persoalan bagaimana garis panduan tersebut boleh dipatuhi tanpa penglibatan mereka. 

Mengubah pemanduan dari kiri ke kanan bukanlah kerja mudah. Jadi, tidak jelas bagaimana ia akan memberi kesan ke atas sistem keselamatan, struktur pelanggaran dan sebagainya. Modifikasi itu juga boleh membuatkan harga Charger lebih mahal daripada Mercedes-Benz. 

Pada masa sekarang, SCD sudah mengimport dua unit Dodge Charger V6 dan mengubahsuainya untuk ditunjukkan kepada polis Australia. Sama ada akan berjaya atau tidak, kita tengok sahaja nanti.  

Google ads
Back to top button