Buletin

TOYOTA YARIS ECOVAN. ANGKUT BARANG DENGAN PENUH GAYA. ENJIN HIBRID, BERMULA RM117K

Toyota Yaris merupakan salah satu model kompak yang popular di Eropah. Populariti itu kian meningkat selepas Toyota menghasilkan pula model berprestasi tinggi yang diinspirasikan daripada jentera rali, GR Yaris. 

Kini, selepas setahun Yaris dilancarkan di Eropah, varian ECOVan muncul di Sepanyol sebagai sebuah kenderaan komersial ringan (LCV) yang menawarkan lebih ruang kargo. 

Jika dilihat dari luar, penampilan Yaris ECOVan tiada beza pun dengan model Yaris biasa. Tetapi apabila diteliti, kerusi penumpang belakang telah dibuang yang membolehkan ruang tersebut menjadi 720 liter berbanding 286 liter pada versi asalnya. 

Lantai kargo tersebut dipasang dengan kayu dan dilapisi oleh tikar getah bertekstur yang tahan lasak. Bahagian belakang tempat duduk pemandu dipasang dengan jaring bagi mengelakkan barang dibawa terpelanting ke ruang kabin. Beberapa cangkuk besi turut disediakan bagi membolehkan barangan diikat dengan lebih kemas. 

Mampu mengangkut beban sehingga 430kg dan setanding dengan kenderaan komersial ringan yang lain, pemandu boleh memilih untuk menutup cermin belakang dengan vinil.  

Jika varian biasa Yaris dipasang engan enjin 1.0 liter dan 1.5 liter, Yaris ECOVan hanya ditawarkan bersama enjin hibrid. Rangkaian kuasa itu menggabungkan enjin 1.5 liter dengan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 114hp dan tork 120Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT. 

Yaris ECOVan didatangkan dalam dua varian iaitu Business Plus dan Active Tech. Sistem Toyota Safety Sense dipasang sebagai ciri standard, selain skrin sentuh bersaiz tujuh inci, lampu utama LED, pendingin hawa dann rim aloi bersaiz 15 inci. 

Varian Active Tech ditambah dengan lampu belakang LED, skrin sentuh 8 inci, kamera undur, kunci pintar dan stereng dibalut kulit. 

Jentera itu ditawarkan pada harga lebih mahal berbanding model biasa. Harga bermula €23,373 (RM117,000) bagi varian Business Plus. Manakala varia Active Tech pula berharga €24,498 (RM122,700) seunit. 

Buat masa sekarang, Yaris ECOVan hanya dijual di Sepanyol dan mungkin akan dijual ke negara Eropah lain pada masa depan. 

GALERI

Google ads
Back to top button