
DODGE CHARGER, CHALLENGER, ENJIN HELLCAT BAKAL DIKEBUMIKAN TAHUN 2023
Era enjin pembakaran dalaman sudah pun kian menghampiri ke penghujungnya (sekurang-kurangnya bagi pihak Dodge) apabila pengeluar kereta muscle itu mengumumkan penamatan produksi bagi produksi enjin Hellcat pada lewat tahun 2023.
Menurut laporan daripada Motor Authority, CEO Dodge Tim Kuniskis mengesahkan langkah untuk menghentikan pengeluaran enjin berkuasa tersebut, dan “anda hanya mempunyai tempoh dua tahun lagi untuk membeli sebuah Hellcat.”
Tambah beliau lagi, langkah ini adalah disebabkan oleh ‘denda’ yang dikenakan terhadap model-model yang yang mempunyai kadar penggunaan bahan api yang tinggi seperti Charger serta Challenger SRT Hellcat.

Menurut Kuniskis lagi, setiap model Dodge yang ada di muka bumi ini juga akan dihentikan produksinya menjelang tahun 2024, dan digantikan dengan model baharu yang menggunakan platform serba baharu.
Terdahulu, Dodge telah pun mendedahkan beberapa teaser yang merujuk kepada konsep kereta muscle yang bakal diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, dan model konsep ini bertindak sebagai prebiu kepada model generasi baharu Dodge yang akan menggunakan trenkuasa elektrik sepenuhnya.
Namun dalam masa terdekat, Dodge akan memperkenalkan sebuah model plug-in hybrid serta sebuah model misteri yang akan muncul menjelang akhir tahun ini.
Sumber: Motor Authority