Motosikal

RASMI: DUCATI PANIGALE V2 GENERASI BAHARU KINI DI MALAYSIA – DARI RM125,000

Selepas kami hadir di pelancaran global Ducati Panigale V2 2025 di EICMA tahun lalu, motosikal supersport generasi terbaru itu akhirnya mendarat di Malaysia.

Ducati Malaysia melancarkan Panigale V2 sempena program NAZA Automania Vol.3 yang bertempat di pusat pameran Ducati Petaling Jaya baru-baru ini.

Kemunculan Panigale V2 ini sangat ditunggu-tunggu ekoran bagi tahun 2025, jentera baharu ini menerima naik taraf yang signifikan.

Pertamanya, Panigale V2 ini dipacu platform V-Twin 890cc V2 90-darjah serba baharu yang tidak lagi mengguna pakai Desmodromic valve sebaliknya beralih kepada valve spring. Ini bermakna, Panigale V2 keluaran 2025 ini tidak lagi memerlukan servis Desmo berbanding generasi sebelumnya.

Atas kertas, platform baharu ini berupaya menjana 120hp pada 10,750rpm dan 93Nm pada 8,250rpm namun dengan tork puncak tersedia seawal 3,000rpm. Ini bermakna kawalan menunggang lebih efisien bukan sahaja di litar malah di jalan raya.

Menariknya, enjin V2 terbaru ini juga hanya 54kg sekaligus lebih ringan dari platform parallel-twin 947cc yang diguna pakai pada KTM 990 RC R dengan 57kg.

Selain itu, buat pertama kalinya pembangunan Panigale V2 bermula kosong berbanding sebelum ini yang sekadar mengikut acuan Panigale V4 namun dengan enjin lebih kecil.

Hasilnya generasi terbaru ini hanya 177kg dan merupakan Panigale V2 paling ringan pernah dihasilkan dan 15kg lebih ringan berbanding keluaran sebelumnya.

Berat yang lebih ringan ini tercapai dengan penggunaan enjin dan casis monocoque aluminium baharu yang hanya seberat 4kg. Reka bentuk ‘swingarm’ juga menyumbang kepada berat yang lebih ringan.

Pengurangan berat yang mendadak juga menyumbang kepada prestasi enjin yang lebih baik meskipun hanya 120hp dan 93Nm berbanding enjin Superquadro yang menawarkan 155hp dan 104Nm.

Ducati mendakwa langkah terbaru ini bagi memastikan Panigale V2 lebih lincah dan ‘mesra’ di jalan raya namun dengan kuasa mencukupi untuk ditunggang di litar lumba. Aspek praktikal diberi penekanan luas pada pembangunan Panigale V2 baharu ini termasuk ergonomik yang lebih selesa bagi mengurangkan tekanan pada lengan penunggang.

Seperti sebelum ini, Panigale V2 baharu ini juga hadir dengan dua varian, V2 dan V2 S dengan varian Standard dilengkapi dengan fork Marzoccho dan penyerap hentak KYB sementara V2 S pula dipadankan dengan fork Öhlins NIX 30 dan penyerap hentak Öhlins. Panigale V2 S juga mengguna pakai bateri litium-ion.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • rim 120/70-17 depan, 190/55-17 belakang
  • tayar Pirelli Diablo Rosso IV
  • brek Brembo M50
  • cakera brek Brembo 320mm depan

Turut melengkapi Panigale V2 adalah pakej elektronik terbaru menerusi IMU 6-axis yang menawarkan fungsi seperti:

  • slide-by-brake
  • Ducati Traction Control
  • Ducati Wheelie Control
  • Ducati Power Launch
  • Ducati Pit Limiteer
  • Ducati Quick Shift (DQS) 2.0
  • Engine Brake Control
  • Ducati Power Launch dan Pit Limiter (V2 S)
Google ads
Back to top button