ENJIN YANG SAMA CIVIC, CR-V & ACCORD. TAPI KUASA BERLAINAN
Sebenarnya penulis sedang mencari teknik bagaimana untuk memastikan enjin bersaiz dengan turbo boleh beroperasi dengan efisyen. Salah satu enjin turbo yang popular ialah enjin Honda L15B, dari kumpulan enjin L dengan kapasiti 1500cc. Enjin ini dipasang pada pelbagai model Honda seperti Civic, CR-V, Accord, Jade dan Mobilio
Untuk model Civic, enjin 1500cc 4 silinder ini menghasilkan 173 kuasa kuda dan 220Nm pada Civic, 190 kuasa kuda dan 243Nm tork pada CR-V dan paling berkuasa iala versi yang dipasang pada Accord yang menghasilkan 198 kuasa kuda dan 260Nm tork seawal 1600RPM.
Mesti anda hairan kan, enjin yang sama, sesaran yang sama, turbo yang sama tapi dengan kuasa yang berbeza. Dari segi rekaan, enjin L15B adalah enjin pertama yang dibina dengan tagline Earth Dream Techology yang menggunkan konsep engine downsizing tapi dipadankan dengan turbo.
Konsep dia ialah walaupun menggunakan 1500cc sahaja untuk jimat petrol tapi kuasa yang dihasilkan ialah sama seperti enjin K24 yang bersaiz 2400cc Natural Asiprated. Enjin L15B ini juga menggunakan blok (open deck) serta kepala silinder yang dihasilkan daripada aluminium.
Rod penyambung dihasilkan dari aloi ringan tapi diperkukuhkan dengan heat treatment bagi menahan beban operasi. Piston pula direka dengan dengan rongga khas untuk mengurangkan gegaran, geseran serta laluan minyak pelincir untuk penyejukan
Tak cukup dengan itu, terdapat satu pemancit minyak pelincir yang akan menyembur minyak pelincir yang sejuk terus ke bawah piston untuk penyejukan. Sistem 16 injap dikawal dengan mekanisma Double Over Head Cam serta aci sesondol memiliki Variable Timing Control bagi injap eksoz dan kemasukan.
Walaupun emblem VTEC terpampang sebesar alam, mekanisme VTEC tidak wujud untuk enjin ini. Itulah yang diberitahu dulu. Namun logo VTEC ini dikekalkan kerana Honda berpendapat VTC adalah sebahagian dari sistem i-VTEC
Injap kemasukan pula direka supaya angin yang masuk berpusar dengan ratio yang tinggi, untuk penjimatan petrol. Bagi memastikan suhu enjin adalah rendah, manifol ekzos dalam kepala silinder direka dengan water jacket. Barulah masalah knocking tak jadi isu sebab ia merendahkan suhu sebanyak 100 darjah Celcius
Turbo pula menggunakan unit MHI TD03. MHI tu maksud dia Mitsubishi Heavy Industry dan TD03 tue model turbo. Jangan terkejut sebab Mitsubishi ni memang kepakaran dia hasilkan unit turbo dan turbo ini boleh berputar sehingga 220,000 RPM.
Tapi turbo ini kecil saja, jadi bila digandingkan dengan transmisi CVT yang direka oleh Honda sendiri masalah turbolag adalah sangat minima. Kuasa dihantar dengan sangat lancar. Udara yang dimampatkan ini akan disejukkan dengan intercooler sejukan udara.
Lepas korek sana ini, ini info tambahan yang kami jumpa. Kalau salah tolong betulkan. Unit yang dipasang pada Honda Civic dikenali dengan nama L15B7 VTC turbo, menunjukkan ia menggunakan mekanisme VTC (atau VVTi dalam bahasa mudah) dan juga turbo. Nisbah mampatan bagi enjin ini ialah 10.6:1
Tekanan yang dihasilkan oleh unit turbo pula mencecah sehingga 16.5 psi. Jadi enjin dengan nisbah 10.6 serta 16.5 psi ini menghasilkan 173 kuasa kuda dan 220Nm tork. Bagi unit yang dipasang pada CR-V, enjin ini menggunakan kod L15BE Turbo. Apa yang berbeza ialah ia menggunakan boost turbo sehingga 18.5psi
Tapi bagi mengelakkan masalah knocking berlaku, nisbah mampatan direndahkan sedikit sehingga menjadi 10.3:1. Tapi kuasa enjin meningkat menjadi sehingga 190 kuasa kuda dan 243Nm tork. Bagi Honda Accord, ia menggunakan kod L15BE dengan nisbah mampatan yang sama iaitu 10.3:1 tapi tekanan boost turbo dinaikkan sehingga 20.2 psi
Enjin ini menghasilkan 198 kuasa kuda dan 260Nm tork, paling tinggi bagi enjin L15B ini. Kalau semak di brochure Honda Accord, ia tidak akan menceritakan banyak perkara. Sebenarnya, selain menggunakan boost yang lebih tinggi, enjin ini sebenarnya ada rahsia lain.
Semakan di beberapa laman sesawang Honda luar negara mendapati unit L15BE yang dipasang pada Accord sebenarnya memiliki sistem VVL (Variable Valve Lift) atau dalam bahasa mudahnya VTEC pada injap ekzos. Bila diaktifkan, injap ekzos akan terbuka lebih luas bagi membantu turbo menghasilkan boost yang lebih tinggi
Boost turbo 20.2 psi ini lebih tinggi daripada CR-V 18.5 psi dan Civic 16.5 psi. Dalam teknologi enjin downsizing an turbo, teknologi VTEC masih ada peranan. Bukan pada injap kemasukan, tapi pada injap ekzos bagi membantu turbo. Enjin K20C yang digunakan oleh Civic Type R juga menggunakan kaedah yang sama.
Enjin 2000cc 4 silinder turbo ini menghasilkan 306 kuasa kuda dan 400Nm tork, memiliki mekanisme VTEC pada injap ekzos. Jadi anda sudah tahu bagaimana Honda boleh menghasilkan kuasa yang berbeza dari enjin yang sama. Ubah boost turbo, nisbah mampatan dan gunakan VTEC. Dan Honda Accord layak menggunakan lencana VTEC.