
EON DAN PETROMIN BAKAL TAWAR PERKHIDMATAN SERVIS KERETA PANTAS MULAI JAN 2023
DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express.
EON hari ini menandatangani perjanjian usaha sama dengan Petromin Arab Saudi yang merupakan anak syarikat Petromin Corporation (Petromin). Usaha sama itu melibatkan perkongsian 51:49 di antara Petromin dan EON.
Usahasama itu bertujuan mengabungkan keupayaan serta penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi. Rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak.
EON diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Akkbar Danial, manakala Petromin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kalyana Sivagnanam.

“Pengetahuan dan pengalaman, ditambah pula dengan data pasaran serta jangkauan pelanggan yang luas DRB-HICOM akan mewujudkan sinergi ideal yang mendorong perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Kami juga sangat teruja untuk menawarkan perkhidmatan baru, berpatutan dan mudah kepada rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.
Akkbar dan Kalyana sama-sama menyuarakan harapan mereka mengenai kerjasama ini.
“Selepas berdekad-dekad mengubah landskap penyelesaian mobiliti di rantau Asia Barat & Afrika Utara (MENA), Petromin berharap dapat membantu mengubah, merintis pengalaman perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di Malaysia dan di seluruh dunia,” kata Kalyana.
Operasi perintis bakal bermula pada Januari 2023 dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan. Berpandukan kepada model cawangan Petromin Ekspres yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama ini akan menawarkan tempoh membaik pulih kenderaan yang pantas.
Walaupun perkhidmatan akan ditawarkan kepada semua jenis kenderaan, syarikat itu mensasarkan kenderaan lepas jaminan yang berusia di antara 5 dan 10 tahun.
Projek perintis itu akan membolehkan pengurusan melengkapkan pelan hala tuju strategik yang lebih komprehensif termasuklah keperluan modal untuk mengembangkan rangkaian perniagaan.

